Banjir Gelombang Ketiga Di Terengganu Pulih Sepenuhnya

Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Semua daerah di Terengganu yang dilanda banjir gelombang ketiga sejak Isnin lepas pulih sepenuhnya hari ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu ketika dihubungi Bernama petang ini berkata semua pusat pemindahan di Kemaman dan Kuala Terengganu ditutup petang ini manakala di daerah lain, banjir pulih secara beransur-ansur sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata di Kuala Terengganu seramai 64 orang mangsa terakhir di Sekolah Kompleks Gong Badak dibenar pulang pukul 5 petang dan 74 orang mangsa banjir di Kemaman dibenar pulang pukul 4 petang ini.

Lebih 10,000 penduduk dari tujuh daerah di negeri itu terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sepanjang banjir melanda sebanyak tiga kali sejak awal November lepas.

Banjir kali ini turut mengorbankan enam mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan remaja, dengan masing-masing satu kes dilapor di Hulu Terengganu, Besut, Dungun dan Kuala Terengganu dan dua kes lemas di Marang.

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir terus berkurangan petang ini apabila hanya 92 orang dari 20 keluarga masih berada di pusat pemindahan berbanding 517 orang pagi tadi.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Pahang berkata bilangan mangsa banjir di Kuantan kini ialah 63 orang dari 11 keluarga yang ditempatkan di balai raya Kampung Pahang dan balai raya Kampung Soi.

Sementara itu, enam pusat pemindahan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Sekolah Kebangsaan Pandan, Sekolah Menengah Gudang Rasau, Dewan Orang Ramai Sri Damai dan Surau Kampung Sri Melati ditutup secara beransur-ansur.

Beliau berkata mangsa banjir di daerah Bera pula kini hanya tinggal 29 orang melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Paya Tateh dan kesemua mereka ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan