Kebudayaan Tonggak Kegemilangan Dan Kedaulatan Bangsa Rosmah

Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keunggulan dan keutuhan sesuatu bangsa bukan sahaja diukur melalui tahap pembangunan prasarana, kekukuhan ekonomi atau kekuatan ketenteraannya, malah melalui kecemerlangan khazanah dan warisan kebudayaan dan keseniannya, kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri itu berkata kecemerlangan khazanah dan warisan kebudayaan dan kesenian adalah termasuk daripada segi bentuk persuratan, bahasa, muzik dan tarian.

"Kebudayaan merupakan tonggak kegemilangan dan kedaulatan bangsa. Kuatnya budaya maka kuatlah bangsa.

"Dalam konteks ini, kita di Malaysia amat bertuah kerana dirahmati dan diberkati dengan kepelbagaian budaya yang telah bertapak di tanah air sejak berkurun lamanya. Penggabungan dan penyatuan unsur-unsur budaya yang berlainan ini menjadikan bangsa kita lebuh unik, teguh dan menarik," katanya semasa merasmikan Pesta Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia di Dataran Merdeka hari ini.

Rosmah berkata rakyat perlu berasa bangga dengan kepelbagaian ini dan mengambil peluang mendekatkan diri dengan warisan dan budaya sedia ada. "Saya percaya dengan semangat kesediaan menerima keunikan budaya masyarakat negara ini, ia akan dapat membangkitkan perasaan kasih sayang sesama kita dan seterusnya merapat dan mengeratkan lagi perpaduan di antara kita.

"Justeru, saya berasa amat bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas inisiatif ini dan usaha Kementerian Pelancongan bagi meningkatkan imej dan keunikan serta kepelbagaian warisan melalui seni tarian.

Beliau berkata tarian daripada aspek kebudayaan boleh dianggap sebagai satu bentuk riadah universal yang boleh diminati dan diamati oleh semua lapisan masyarakat.

Tarian juga boleh menjadi satu perantaraan efektif dan konstruktif ke arah mencapai aspirasi perpaduan, katanya.

"Saya yakin dan percaya konsep Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia ini mampu menjadi satu lagi produk pelancongan yang menarik dan berjaya untuk dipromosikan ke persada antarabangsa," katanya.

Rosmah berkata tarian itu mampu memberikan pengalaman menarik buat pelancong untuk sama-sama merasai keunikan Malaysia.

Selain itu, rakyat katanya perlu berperanan sebagai duta pelancongan untuk membantu meningkatkan lagi pertumbuhan industri pelancongan negara.

"Saya percaya pengaruh "words of mouth" (dari mulut ke mulut) amat kuat dan seterusnya pengalaman yang dialami hendaklah dikongsi bersama dengan yang lain, baik di dalam mahu pun di luar negara," katanya.

Katanya kejayaan industri pelancongan negara bukan bergantung kepada usaha sesuatu pihak malah semua peringkat termasuk rakyat.

"Kita perlu menyemai rasa cinta dan bangga kerana mempunyai sebuah negara yang sungguh kaya dengan keunikan dari pelbagai aspek. Saya ingin menyeru kepada semua peserta Pesta Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia supaya membantu kerajaan dan Kementerian Pelancongan bagi memajukan lagi industri pelancongan negara kita," katanya.

Turut hadir pada pesta tarian itu ialah Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta timbalannya Senator Heng Seai Kie. Bercakap kepada pemberita kemudian, Ng berkata kementerian berhasrat menjadikan gabungan lapan jenis tarian iaitu tarian "Malaysia Truly Asia", Cina, India, Zapin, Sewang, Sabah dan Sarawak sebagai tarian rasmi program Cuti-Cuti 1Malaysia dan acara tahunan kementerian, kerana ia mengetengahkan kekuatan dan keunikan masyarakat majmuk Malaysia.

"Saya percaya ia mampu memberikan gambaran keharmonian dan keamanan yang dikecapi bersama. Kehidupan kita yang sentiasa harmoni dan kestabilan negara ini daripada pelbagai aspek sesungguhnya dapat membantu perkembangan sektor pelancongan negara melalui 1Malaysia," katanya.

Katanya acara yang melibatkan 12,000 orang daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, agensi-agensi kerajaan dan orang ramai telah direkodkan dalam Malaysia Guiness Book of Record.

Sementara itu, Heng dalam sidang akhbar berasingan berkata program sedemikian mampu meningkatkan sektor pelancongan di negara ini sekaligus membuka mata pelancong asing untuk samasama mempelajari tarian tradisi negara.

Beliau berkata pemupukan integrasi budaya amat penting di kalangan masyarakat bagi menjayakan 1Malaysia.

Pesta itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian kesenian dan kebudayaan, menggalakkan pelancongan domestik, menjadi pemangkin dalam usaha menggalakkan serta menyatukan rakyat dalam konteks 1Malaysia, memupuk minat dan meningkatkan pengetahuan kepada masyarakat serta menjadikan pesta tarian sebagai satu program dan produk pelancongan bagi membantu meningkatkan sektor pelancongan negara.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan