Pulau Pinang Larang Kakitangan Ikuti Kursus BTN

Diterbitkan: Rabu, 2 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Kerajaan Pulau Pinang melarang semua kakitangannya daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman berkata, tindakan itu dibuat kerana mendapati kursus BTN memberikan kesan negatif dan menjadi medan menyebarkan propaganda Barisan Nasional (BN).

Katanya kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang memang telah mewujudkan kursus dan modul sendiri untuk meningkatkan prestasi kakitangannya sejak mula mentadbir lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri tidak perlu menggunakan kursus BTN itu, katanya pada persidangan akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau berkata, kelab penyokong kerajaan negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) juga akan mengemukakan usul pada persidangannya Jumaat ini untuk meminta kerajaan pusat memansuhkan BTN dan menyemak semula kursus di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) supaya kursus yang diadakan tidak mengandungi propoganda ala BTN. Sementara itu, wakil kelab penyokong kerajaan, Sim Tze Tzin, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak daripada PKR berkata, usul itu akan dikemukakan kerana pihaknya menerima banyak aduan negatif daripada peserta yang pernah mengikuti kursus BTN.

Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan kerana kursus BTN didakwa sekadar "sesi membasuh otak" yang sengaja diada-adakan BN tanpa memberi kebaikan kepada peserta dan mendakwa menjadi tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecah-belahkan rakyat. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan