Anwar Kata Dia Tak Campur Tangan Rundingan Air S'gor Buat Masa Ini

Diterbitkan: Rabu, 2 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, buat masa ini beliau tidak akan campurtangan di dalam rundingan penstrukturan industri air di Selangor di antara kerajaan negeri, syarikat-syarikat pemegang konsesi air dan Kerajaan Persekutuan.

"Kalau setakat ini saya tengok lebih baiklah Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Ramli Mahmud) yang meneruskan hal-hal tersebut kerana saya tengok ada kemajuan," katanya kepada pemberita selepas satu sesi taklimat mengenai Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Selangor di sini hari ini. Anwar berkata, jika perlu isu air di Selangor boleh disambung perbincangannya di Parlimen di mana beliau adalah Ketua Pembangkang.

Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri dengan bayaran gaji sebanyak RM1.00 sebulan pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan lepas.

Hari ini beliau mengangkat sumpah secara rasmi bagi memegang jawatan itu. Dengan pelantikan itu juga, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu kini diberikan sebuah pejabat di sebuah bangunan milik Kumpulan Darul Ehsan Bhd di sini.

Anwar berkata, beliau akan melihat kaedah untuk mempercepatkan kelulusan projek bagi mempercepatkan pertumbuhan di Selangor dan membantu kerajaan negeri meningkatkan kemasukan pelaburan.

Selain itu, Anwar juga berkata, beliau mahukan semua agensi kerajaan negeri memberi kerjasama kepada beliau termasuk input-input daripada para pegawai.

Ditanya jika kehadiran Anwar selaku penasihat ekonomi bercanggah dengan peranan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Abdul Khalid yang turut hadir pada majlis itu berkata tidak ada percanggahan kerana UPEN adalah sebahagian daripada jentera kerajaan. "Boleh jadi dia UPEN kena kerja lebih banyak lagi sebab sekarang kita dapat berkongsi dengan Datuk Seri (Anwar) daripada tugas-tugas kita bermakna dia akan memperhebatkan lagi tugas UPEN," katanya.

Dengan pelantikan itu juga, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu kini diberikan sebuah pejabat di sebuah bangunan milik Kumpulan Darul Ehsan Bhd di sini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan