SPRM Siasat Isu Pindah Milik Tanah Di Pandamaran - Nazri

Diterbitkan: Selasa, 1 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilibatkan bagi menyiasat isu pemindahan hak milik tanah di Kampung Jalan Papan dan Kampung Bukit Kerayong, Pandamaran, Klang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, hasil perbincangannya dengan jawatankuasa penduduk dari keduadua kampung itu, beliau mendapati terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dalam proses perpindahan hak milik tanah daripada penduduk kepada pemaju.

Beliau berkata wakil penduduk kampung tersebut juga telah mengemukakan laporan kepada SPRM pada 2 September lepas, namun sehingga kini mereka tidak dimaklumkan tentang perkembangan kes itu.

"Dengan itu saya sebagai menteri yang bertanggungjawab secara langsung dengan SPRM akan menghubungi Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed supaya mengambil tindakan, hasil daripada laporan yang telah dibuat," katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada keduadua jawatankuasa penduduk kampung itu di lobi Parlimen di sini hari ini.

Isu tanah di Kampung Jalan Papan tercetus pada tahun 1997 apabila enam lot tanah di Pandamaran termasuk tanah keduadua kampung tersebut telah diberikan kepada TPPT Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Bank Negara, untuk memulih projek terbengkalai.

Pada 2003, Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi notis kepada penduduk di situ supaya mengosongkan rumah masingmasing dan berpindah ke pangsapuri kos rendah yang dibina oleh TPPT atau pemaju lain dengan diberikan wang pampasan sebanyak RM7,000 kepada mereka yang setuju berpindah.

Kebanyakan penduduk tidak berpuas hati dengan tawaran itu dan mencadangkan TPPT membina rumah yang harganya di bawah RM100,000 kerana menurut mereka, sejak menghuni kawasan itu 70 tahun lalu, Pejabat Tanah telah memberi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada sebahagian penduduk, sehinggalah TOL itu dibatalkan tanpa alasan pada tahun 1990.

Isu itu memuncak apabila MPK pada 2004 bertindak merobohkan rumah di keduadua kampung itu dengan menggunakan Ordinan Darurat, dan ini memaksa jawatankuasa penduduk memohon satu injunksi mahkamah bagi menghentikan kerja merobohkan itu, selain turut mencadangkan TPPT menggunakan kontraktor pilihan jawatankuasa penduduk kampung yang dipercayai boleh memberi tawaran yang lebih baik, iaitu rumah teres.

Bagaimanapun, pada 2007, TPPT melantik Melati Ehsan Development Sdn Bhd bagi pembangunan projek tersebut tetapi syarikat itu hanya akan membina 107 buah rumah teres satu setengah tingkat di bawah harga RM100,000 dengan hanya 51 buah rumah akan diberi kepada pembeli daripada senarai jawatankuasa penduduk.

Mohamed Nazri berkata TPPT sebagai anak syarikat Bank Negara secara jelas telah melanggar syarat perjanjian yang dipersetujui dengan kerajaan negeri Selangor, dengan membenarkan projek itu diberikan kepada Melati Ehsan, sedangkan perjanjian berkenaan jelas menyatakan sebuah anak syarikat Bank Negara tidak boleh mengadakan satu projek yang mendatangkan keuntungan melainkan untuk memastikan perumahan dibuat untuk membantu masyarakat miskin.

Beliau juga memberi jaminan akan membawa perkara tersebut untuk perhatian Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan