MIC Tidak Setuju Cadangan Sekolah Adakan Peperiksaan Vernakularnya

Diterbitkan: Selasa, 1 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Naib presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran agar sekolah menjalankan peperiksaan vernakularnya sendiri untuk pelajar yang tidak dapat menduduki tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Sumber Manusia itu berkata pegawai Kementerian Pelajaran telah membincangkan cadangan tersebut dengan beliau sebelum ini tetapi Dr Subramaniam menolak idea berkenaan.

"Kita bincang dengan panjang lebar dan mendapati ia tidak dipersetujui," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata hari ini sekolah-sekolah menjalankan sendiri peperiksaan vernakular agar guru-guru boleh menilai kemampuan pelajar dan mengeluarkan sijil berdasarkan kepada kecekapan mereka dalam bahasa ibundanya.

Dr Subramaniam berkata masyarakat India mahu bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil sebagai sebahagian SPM yang telah diamalkan sebelum ini.

Menteri itu mengulangi bahawa beliau akan membangkitkan perkara ini pada kabinet dan akan juga membincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Muhyiddin mengumumkan baru-baru ini bahawa mulai tahun depan, pelajar SPM akan hanya mengambil maksimum 10 subjek selaras dengan keputusan itu, terdapat perubahan dalam sistem pengredan.

Langkah kerajaan itu menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat India yang mahu pelajar dibenarkan mengambil subjek bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil.

Cadangan agar sekolah menjalankan peperiksaan vernakular mereka sendiri timbul sehari selepas Dr Subramaniam mempengerusikan satu mesyuarat dengan kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan yang meminta supaya kedua-dua subjek itu dimasukkan dalam SPM. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan