Kelantan Mohon Pertemuan Dengan PM Bincang Isu Royalti Minyak

Diterbitkan: Selasa, 1 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan hari ini menghantar surat permohonan untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai tuntutan royalti minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Datuk Husam Musa berkata, permohonan itu dibuat berikutan kenyataan Najib bahawa pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Oleh kerana Perdana Menteri telah menyatakan persetujuan untuk berunding, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri yang dilantik oleh exco, telah menghantar surat kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, Najib ketika sidang medianya di Port Of Spain (Trinidad & Tobago) dilaporkan berkata, tuntutan tersebut boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Katanya segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

Sehubungan itu, Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, telah meminta jasa baik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengatur pertemuan antara kerajaan Kelantan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membincangkan isu royalti minyak.

Menyentuh tentang laporan media bahawa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa Jumaat lepas supaya Allah menurunkan bala ke atas Perdana Menteri kerana enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, beliau mendakwa hanya sebahagian daripada ucapan Mursyidul Am Pas itu dilaporkan.

Katanya doa Nik Aziz sebenarnya bukan terus minta Allah jatuhkan hukuman ke atas Perdana Menteri sebaliknya supaya Najib berbesar hati untuk berunding dan mempertimbangkan bayaran royalti terhadap kerajaan negeri.

"Jika selepas satu masa beliau masih enggan (berbuat demikian) barulah Tok Guru (Nik Aziz) minta supaya Allah letakkan bala kepada Perdana Menteri.

"Tetapi media telah ambil sebahagian sahaja daripada ucapan tersebut dan telah memanipulasikan bahagian terakhir ucapan itu untuk menggambarkan Menteri Besar Kelantan hanya sukakan konfrantasi dengan Perdana Menteri," katanya.

Najib dilaporkan berkata beliau tidak akan meminta Nik Aziz memohon maaf sebaliknya menyarankan Menteri Besar sedar bahawa perbuatannya dilihat oleh ramai umat Islam sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman.

Mengenai laporan sebuah harian barubaru ini bahawa beliau akan meletakkan jawatan exco, Husam berkata laporan berkenaan menjejaskan reputasinya sebagai anggota exco negeri Kelantan.

"Berita ini telah menjejaskan saya dengan teruk sekali. Di Kelantan hampir saban hari perbincangan mengenai isu ini berlanjutan menerusi pelbagai cara, menyebabkan satu gangguan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Husam berkata peguamnya telah menghantar notis kepada harian berkenaan hari ini menuntut agar permohonan maaf secara terbuka segera dibuat. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan