Restoran Rosak Akibat Letupan

Diterbitkan: Isnin, 30 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Seorang anggota Polis dari Unit Forensik mencari bahan bukti di tapak sebuah restoran
Seorang anggota Polis dari Unit Forensik mencari bahan bukti di tapak sebuah restoran "Stulang Corner" yang rosak teruk akibat satu letupan di sini, awal pagi tadi. Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi tadi, dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.-Foto BERNAMA.

JOHOR BAHARU: Sebuah restoran di Stulang, di sini, yang bakal beroperasi Sabtu ini mengalami kerosakan serius akibat satu letupan dari dalam premis berkenaan, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kejadian di restoran "Stulang Corner", di Jalan Pandan 1, yang hampir 80 peratus siap diubah suai itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

"Polis menerima maklumat berlaku satu letupan di premis yang disewa itu kira-kira pukul 4.30 pagi. Siasatan mempercayai kejadian itu berpunca dari perbuatan khianat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata bahan letupan itu dipercayai diletakkan di dalam premis tersebut dan Unit Forensik serta Jabatan Kimia ketika ini sedang menyiasat jenis bahan letupan yang digunakan.

Beliau berkata polis sudah mengenal pasti dua atau tiga orang suspek yang terlibat, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dibuat.

Katanya tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa berlaku akibat kejadian itu.

Sementara itu, pemilik restoran berkenaan yang mahu dikenali sebagai George, 40-an, berkata dia membelanjakan sebanyak RM200,000 untuk membuat pengubahsuaian restoran berkenaan.

Katanya kejadian itu menyebabkan sebahagian dinding, bahagian belakang, siling dan rak kaca peragaan makanan di premis itu mengalami kerosakan.

"Saya tidak tahu punca kejadian ini. Mungkin ada orang dengki terhadap saya," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan