Polis Bertanggungjawab Terhadap Setiap Tindakannya, Kata Hishammuddin

Diterbitkan: Isnin, 30 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata polis akan bertanggungjawab terhadap setiap tindakan mereka dalam memerangi jenayah termasuk menembak mati penjenayah bagi mempertahankan diri.

Beliau berkata tindakan yang diambil polis sememangnya sudah termaktub di bawah Akta Polis 1967 di mana polis boleh bertindak demikian jika keadaan memaksa.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Festival Tarian Periyapuranam di sini malam ini berkata demikian sebagai mengulas kes seorang lelaki yang mengamuk ditembak mati di Kangar, Perlis pada 14 November lepas selepas beliau dikatakan menyerang seorang anggota polis yang cuba mententeramkannya.

Hishammuddin berkata berdasarkan laporan yang diterima berhubung kejadian tersebut setakat ini, polis dilihat melakukan perkara yang sepatutnya, dan menurutnya siasatan kes itu masih dijalankan.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu Hishammuddin meminta agar semua kaum di Malaysia mengetepikan pemikiran politik sempit sebaliknya menyeru mereka bangkit untuk bersatupadu demi kesejahteraaan negara, bangsa dan agama.

Beliau berkata kini bukannya masa untuk bertelagah atau mensensasikan isu-isu yang boleh meruntuhkan hubungan sesama kaum sebaliknya memikirkan perihal untuk membangunkan anakanak bangsa agar maju ke depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan