Pemuda Umno Buat Laporan SPRM Terhadap Kerajaan P.Pinang

Diterbitkan: Isnin, 30 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Pemuda Umno negeri hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kerajaan negeri berkaitan dengan jualan sebidang tanah seluas 1.4 hektar di Georgetown.

Bendaharinya, Aziaan Ariffin berkata beliau telah membuat satu aduan kepada SPRM untuk menyiasat jualan tanah tersebut yang terletak bersebelahan dengan E&O Hotel.

"Kami mendapati kerajaan negeri telah menukar pegangan tanah Lot 408 di Georgetown awal tahun ini dengan mengenakan bayaran premium yang rendah kepada PDC Heritage Hotel Sdn Bhd (PHH)," katanya ketika ditemui di perkarangan pejabat SPRM di sini hari ini.

Aziaan berkata kerajaan negeri hanya mengenakan premium berjumlah lebih kurang RM45 sekaki persegi sahaja kepada PHH sungguhpun harga pasaran adalah lebih kurang RM250 sekaki persegi.

"Tapak tanah tersebut adalah tapak yang strategik dan ia sepatutnya dikenakan premium yang tinggi tetapi kerajaan negeri tidak mengenakannya kepada PHH.

"Oleh yang demikian, kami merasa bahawa terdapat penyelewengan dan juga unsurunsur rasuah yang berlaku dalam kelulusan tukar pegangan tanah tersebut," katanya.

Selain itu, beliau juga mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng supaya mengakui pembohongannya berhubung syarat pegangan tanah yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ogos lepas.

"Apakah motif beliau menyembunyikan kelulusan itu daripada rakyat?" katanya.

Isu itu timbul kerana kerajaan negeri memperkenalkan dasar baru berkaitan pegangan tanah iaitu membenarkan tanah industri dan komersil berstatus pajakan dipanjangkan tempoh pegangan kepada 99 tahun manakala bagi tanah kediaman ditukar kepada pegangan kekal.

Sebelum ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pulau Betong, Muhammad Farid Saad, mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi maklumat salah kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila memaklumkan bahawa tiada pertukaran status pegangan tanah dibuat di negeri itu dari April hingga Jun tahun ini.

Tetapi terdapat laporan menyatakan kerajaan negeri telah meluluskan permohonan untuk menukar tempoh pegangan secara pajakan kepada kekal. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan