CHOGM Masih Relevan, Berupaya Zahirkan Pandangan Berhubung Isu Global - Najib

Diterbitkan: Isnin, 30 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT OF SPAIN (Trinidad and Tobago): Sidang kemuncak Komanwel berakhir di sini pada Ahad, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan bahawa badan itu masih relevan dan berupaya menzahirkan pandangan berhubung kepentingan global.

Beliau berkata deklarasi mengenai perubahan iklim yang dikeluarkan oleh para pemimpin Komanwel yang hadir di Port of Spain adalah contoh bagaimana perkumpulan itu berjaya menghadapi keadaan apabila yang menjadi taruhan ialah kelangsungan hidup kebanyakan anggotanya.

Katanya perkumpulan itu yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas negara jajahan British, telah melaksanakan peranannya dalam membantu negara yang berdepan kesukaran, bukan hanya dalam membawa pembangunan tetapi juga membentuk sistem nilai yang akan mengemudi kejayaan sesebuah negara.

"Contoh jelas mengenai perkara ini ialah langkah Komanwel untuk menerima kemasukan Rwanda, sebuah negara yang musnah akibat pertelingkahan puak, sebagai anggota ke-54," katanya kepada media Malaysia di akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 di sini.

Komanwel, kata Najib, adalah institusi yang memberi penekanan kepada sistem nilai seperti demokrasi, kedaulatan undangundang, hak asasi manusia dan sebagainya yang penting ke arah mencapai keamanan dunia serta mengelak kemusnahan negara.

"Bagi saya, Komanwel telah berjaya menjawab kritikan yang seringkali mempersoalkan sama ada badan ini masih relevan.

"... dan ia tetap relevan," kata Najib tentang perkumpulan yang mewakili satu pertiga penduduk dunia yang tinggal dalam negara kecil dan besar, maju serta membangun.

Deklarasi perubahan iklim Komanwel, antara lain, menyokong pembiayaan permulaan segera dan mewujudkan geran pembiayaan, bagi membantu negara yang terjejas teruk dalam menangani kesan buruk perubahan iklim.

Perdana Menteri Denmark Lars Lokke Rasmussen, Presiden Perancis Nicholas Sarkozy dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Kimoon turut berada di sini bagi melobi untuk mendapatkan sokongan kepada triti iklim baru yang akan dibincang secara panjang lebar pada sidang kemuncak perubahan iklim PBB di Copenhagen mulai 7 Disember ini.

Beliau turut menyambut baik usaha untuk mengadakan sidang kemuncak mengenai penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser pada 2011.

"Ramai rakyat Malaysia yang menderita akibat ketiga-tiga penyakit ini," kata Najib yang turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan beliau dari Bangladesh Sheikh Hasina Wajed, yang gagal dalam percubaannya untuk meminta Malaysia menarik balik pembekuan pengambilan pekerja dari Bangladesh.

Selepas tiga hari berbincang yang menyusuli perasmian CHOGM oleh Ratu England Ratu Elizabeth II pada Jumaat, Ketua-Ketua Komanwel mengeluarkan Kenyataan CHOGM di samping Deklarasi Port of Spain: Perkongsian Bagi Masa Depan yang Lebih Saksama dan Lestari.

Dalam deklarasi itu, para pemimpin mengakui bahawa CHOGM berlangsung di tengah-tengah krisis ekonomi dan kewangan global yang melemahkan, kemudahruapan harga komoditi utama dan kesan daripada perubahan iklim yang mencemaskan, yang mengancam keselamatan serta kehidupan berjuta-juta umat manusia.

"Kami, oleh itu, menyatakan kesanggupan untuk mengukuhkan rangkaian kerjasama yang sedia ada dalam Komanwel dan menggesa daya pendorong baru bagi menjalin perkongsian politik serta ekonomi yang lebih berkesan," kata mereka.

Ketua-Ketua Komanwel turut memberi isyarat kesediaan bagi mencari jalan untuk menyediakan bantuan segera kepada golongan termiskin serta paling mudah terjejas ekoran krisis ekonomi dan kewangan global.

Mereka menegaskan keperluan menangani masalah hutang negara berpendapatan sederhana, ekoran peningkatan bahagian hasil kerajaan yang diambil oleh penyenggaraan hutang dan implikasi daripada perbelanjaan sosial.

Para pemimpin berkenaan turut menggesa institusi kewangan antarabangsa supaya menyediakan peluang pembiayaan baru bagi pembiayaan konsesioner untuk negara berpendapatan sederhana yang menanggung beban hutang yang serius.

"Kami turut menyokong proses pembaharuan institusi kewangan antarabangsa dan menggesa pelaksanaan segera dan menyeluruh terhadap perubahan yang memberi gerak balas kepada keperluan semua negara," katanya.

Sebagai tambahan, beliau berkata Ketua-Ketua Komanwel menyokong pengenalan mekanisme bagi membiayai penyelidikan untuk meneruskan pembangunan dan menerima pakai teknologi baru.

Negara-negara anggota, kata beliau, akan turut dibantu untuk mendapatkan kemudahan dana pembangunan alam sekitar yang diuruskan oleh Bank Dunia dan PBB. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan