LAPORAN KHAS: Sempena Ulang Tahun Ke-20 Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia dan PKM (Bahagian Pertama)

Diterbitkan: Ahad, 29 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pegawai tentera British John Davis (dua dari kiri) mengiringi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng (kiri), bersama Chin Tian dan Rashid Maidin. Mereka berjalan menuju ke sebuah bangunan sekolah di Baling pada tahun 1955 untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman dan Ketua Menteri Singapura David Marshall. - Foto Ehsan UTUSAN MALAYSIA
Pegawai tentera British John Davis (dua dari kiri) mengiringi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng (kiri), bersama Chin Tian dan Rashid Maidin. Mereka berjalan menuju ke sebuah bangunan sekolah di Baling pada tahun 1955 untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman dan Ketua Menteri Singapura David Marshall. - Foto Ehsan UTUSAN MALAYSIA

(Menjelang Rabu ini, genaplah 20 tahun Parti Komunis Malaya (PKM) menamatkan perjuangan bersenjata mereka ke atas Kerajaan Malaysia apabila mereka menandatangani Perjanjian Damai yang bersejarah pada 2 Disember 1989 di Hadyai Thailand. Pengarang Bersekutu mStar, ROZAID A. RAHMAN yang ketika itu berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Malaysia adalah sebahagian daripada mereka yang berpeluang menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Beliau mengimbau kembali setiap detik menuju ke jalan damai itu bersama kita dalam siri Laporan Khas ini.)

HARI SAYA BERTEMU CHIN PENG & RASHID MAIDIN...

MALAM 30 NOVEMBER 1989 adalah malam yang tidak dapat dilupakan oleh para wartawan Malaysia yang dihantar ke Hadyai untuk membuat liputan Majlis Menandatangani Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Malam itu, buat pertama kalinya dalam tempoh 34 tahun iaitu sejak 29 Disember 1955, manusia yang paling digeruni di tanahair, Chin Peng @ Ong Boon Hua muncul di khalayak ramai.

Setiausaha Agung PKM itu kelihatan gemuk dan sihat dengan wajah yang putih kemerah-merahan - tidak sama sekali mengambarkan yang beliau menjalani kehidupan sebagai seorang gerila di dalam hutan.

Tiada siapa yang tahu bagaimana Chin Peng yang pada mulanya memberikan pra syarat yang beliau hanya akan hadir pada majlis perdamaian itu (yang dijadualkan pada 2 Disember) jika beliau tidak ditemubual oleh media tiba-tiba mengubah fikiran dan memanggil satu sidang akhbar di sebuah kem tentera di Hadyai.

Malah Chin Peng dikatakan tidak mahu pihak media menyaksikan upacara perjanjian damai itu dan beliau juga tidak mahu gambarnya diambil semasa beliau menurunkan tandatangannya di atas kertas perjanjian damai.

Nampaknya beliau sudah berubah fikiran dengan memberikan sidang akhbar lebih awal iaitu sehari sebelum berlangsungnya perjanjian damai.

Sebaik sahaja bertemu dengan wartawan, perkataan pertama yang disebut Chin Peng ialah, “Sudah lama saya menanti saat ini...”

Chin Peng yang berpakaian kemas seperti seorang ahli perniagaan juga kelihatan riang tetapi ada sedikit reservation setiap kali ditanya soalan berkaitan masa depannya dan rancangannya selepas selesai perjanjian damai dengan Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata; Saya belum membuat keputusan sama ada hendak pulang ke Malaysia...”

(Hakikatnya ialah 20 tahun selepas itu, beliau masih tidak dapat menjejakkan kakinya di Malaysia).

Dalam sidang akhbar ringkas itu yang diadakan pada jam 8 malam, Chin Peng bertutur dalam bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris dan bahasa Thai tentang perjuangannya dalam PKM di masa silam dan betapa dia memerlukan masa untuk memikirkan apa yang hendak dibuatnya selepas itu.

“Walaupun kami akan membubarkan tentera kami (PKM) kami tidak akan sekali-kali membubarkan Parti Komunis Malaya,” katanya.

Chin Peng juga tidak ketinggalan memberi pengiktirafan kepada daya usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Thailand sehingga termeterainya perjanjian damai ini.

Sedang Chin Peng menunggu tibanya jam 10.30 pagi, 2 Disember 1989 di mana akan berlangsungnya majlis bersejarah itu, iaitu perjanjian damai yang dinanti-nantikan oleh seluruh dunia, pesawat yang membawa para perwakilan Malaysia yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar telah mendarat di Hadyai.

Seorang lagi perwakilan Malaysia, Panglima Angkatan Tentera Diraja Malaysia, Tan Sri Hashim Mohd Ali telah tiba lebih awal di Hadyai.

Para wartawan yang berjumlah hampir 200 orang, siang-siang lagi telah berkampung di bandar Selatan Thai ini. Semua hotel besar di Hadyai bukan sahaja dipenuhi oleh para wartawan dan jurugambar tetapi juga anggota-anggota keselamatan, polis, askar, pegawai tinggi kerajaan daripada kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Thailand, anggota-anggota Majlis Keselamatan Negara apatah lagi pegawai-pegawai dari Cawangan Khas (Special Branch).

Dan sungguhpun kehadiran para pemimpin utama PKM ini cuba dirahsiakan, tetapi penduduk tempatan seperti menyedari bahawa Chin Peng dan Rashid Maidin, pemimpin Regimen Ke-10 PKM sudah berada di pekan ini.

Seorang pemandu teksi mendakwa dia tahu di mana Chin Peng tinggal malah sedia memberikan nombor bilik penginapan sekiranya mendapat ‘bayaran’ yang betul.

Perjanjian bersejarah yang akan ditandatangi oleh Chin Peng dan wakil-wakil Kerajaan Malaysia dan Thailand itu akan berlangsung di sebuah ballroom bernama Siam Conference Room di Hotel Lee Garden. Dan sebaik sahaja selesainya proses perdamaian itu, nama ballroom tersebut akan ditukar kepada The Peace Hall.

****

Hampir tengah malam 1 Disember 1989, tidak sampai pun 24 jam lagi sebelum termeterainya perjanjian damai antara Malaysia dan PKM, tiba-tiba Rashid Maidin, Komander Regimen ke-10 PKM dan Pengerusi PKM, Abdullah CD dan Ah Sek, Komander Regimen Ke-12 PKM muncul di coffee house JB Hotel Hadyai di hadapan wartawan-wartawan Utusan yang terdiri daripada Ketua Pengarangnya, Zainuddin Maidin dan Pengarang Berita, Khalid Mohd dan saya sendiri serta V.K Chin dari akhbar The Star yang secara kebetulan berada di tempat yang sama. (Zainuddin Maidin, kini Tan Sri kemudiannya menjadi Menteri Penerangan Malaysia dan Khalid Mohd., sekarang Datuk, kemudiannya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan kini berkhidmat di sebuah Yayasan di Petronas).

Bagaimanapun kehadiran tiga orang utama PKM itu serta isteri Abdullah dan Ah Sek tidak disedari langsung oleh pengunjung-pengunjung yang lain. Mereka tidak diperdulikan sehinggalah ‘diganggu’ oleh wartawan Utusan yang memberanikan diri bangun lalu berjalan menuju ke arah Rashid dan Abdullah sambil memperkenalkan dirinya.

Cara Rashid, Abdullah dan Ah Sek ‘menyusup’ masuk di celah-celah orang-ramai tanpa menarik perhatian umum sangatlah mengkagumkan. Ia umpama satu seni yang telah mereka pelajari dan adaptasikan dengan cemerlang sekali di sepanjang penyamaran mereka di dalam hutan.

Sepertimana Chin Peng pada malam sebelumnya, ini juga adalah kemunculan pertama Rashid dan Abdullah secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai - setidak-tidaknya itulah yang telah disaksikan oleh wartawan-wartawan Utusan dan The Star pada malam itu.

Dan malang sungguh bagi Rashid, Abdullah dan Ah Sek kerana kehadiran mereka untuk bersantai di coffee house itu akhirnya telah terganggu oleh kedatangan wartawan ini.

Rashid yang memesan secawan kopi sambil menghisap paip kelihatan tidak senang apabila kehadiran mereka telah dikesan wartawan. Malah tidak lama selepas itu beliau telah berkali-kali meminta rakan-rakannya yang lain supaya segera menghabiskan minuman masing-masing bagi membolehkan mereka beredar dari situ.

Berpeluang buat pertama kalinya untuk menatap wajah Rashid dari dekat, tidak dapat dinafikan, walaupun berusia 73 tahun ketika itu, Rashid bukan sahaja kelihatan sihat tetapi tegap dan gagah seperti seorang yang bersedia untuk ke medan perang. Beliau sentiasa kelihatan serius sepanjang berada di coffee house itu.

Walaupun beberapa kali diajak berbual, Rashid memperlihatkan gerak badan yang keras dan kekok. Rashid berulang kali berkata, beliau tidak berhasrat untuk bercakap dengan seorang wartawan.

Yang lebih mengejutkan ialah Rashid langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila wartawan Utusan memberitahu bahawa pihak media telah menemui keluarganya di Perak.

Bagaimanapun di sebalik keseriusan wajahnya itu, Rashid akhirnya ketawa kecil apabila diberitahu betapa pihak media begitu mengidam untuk merakamkan wajahnya yang terbaru.

(IKUTI BAHAGIAN KEDUA ESOK...)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan