Ketua-Ketua Komanwel Mahu Penyakit Utama Dijadikan Keprihatinan Global - Berita Semasa | mStar

Ketua-Ketua Komanwel Mahu Penyakit Utama Dijadikan Keprihatinan Global

Diterbitkan: Ahad, 29 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT OF SPAIN (Trinidad and Tobago): Mesyuarat Ketua-Ketua Komanwel di sini berpendapat usaha membendung peningkatan aliran penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser perlu dijadikan sebahagian daripada matlamat pembangunan global.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara itu dibangkitkan pada Sabtu semasa sesi istirahat Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berlangsung di bandar raya pelabuhan Caribbean di sini.

"Mereka berpendapat bahawa kesan tiga penyakit ini dirasakan bukan hanya di negara maju tetapi juga dalam kalangan negara membangun.

"Oleh itu, mereka melihat adanya keperluan untuk mengadakan satu program yang lebih berkesan dan usaha bersepadu bagi menangani isu itu," katanya kepada wartawan Malaysia di akhir persidangan pada Sabtu.

Di bawah tema khas CHOGM 2009 "Perkongsian Bagi Masa Depan yang Lebih Saksama dan Lestari", Najib berkata para pemimpin membincangkan kebimbangan negara membangun di Afrika dan Caribbean di tengah-tengah kemelesetan ekonomi global semasa.

Perdana Menteri berkata kebanyakan mereka terpaksa bergelut dengan pengurangan permintaan terhadap eksport mereka.

Najib berkata mereka turut berdepan kesukaran untuk mengeksport komoditi pertanian seperti pisang ke pasaran misalnya Kesatuan Eropah.

"Mereka turut berpendapat institusi kewangan seperti Bank Dunia nampaknya seperti tidak banyak membantu mereka," katanya.

Para pemimpin berkenaan juga mahu kerajaan memberi lebih banyak tumpuan kepada isu berkaitan belia.

"Mereka merasakan terdapat keperluan untuk meningkatkan program pendidikan dan latihan vokasional," katanya, sambil menambah para pemimpin juga menyokong penyediaan akses kepada kredit dan membuka peluang perniagaan untuk golongan muda. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan