Wanita Warga Emas Maut, 11 Masih Hilang Dalam Kejadian Bot Karam Di Pulau Banggi

Diterbitkan: Jumaat, 27 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUDAT: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun maut manakala 11 yang lain dipercayai hilang apabila bot nelayan yang mereka naiki karam berhampiran Karakit, Pulau Banggi, dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah (APMM) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Taha Ibrahim berkata bot nelayan yang sedang dalam perjalanan dari Kudat ke Karakit, Pulau Banggi, itu dilaporkan membawa 25 penumpang.

Bagaimanapun, 13 penumpang terselamat dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang, katanya ketika dihubungi hari ini.

Taha berkata operasi mencari dan menyelamat mereka yang hilang masih diteruskan membabitkan pasukan APMM, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin dan agensi lain yang berkaitan.

Katanya punca nahas itu masih belum diketahui tetapi laporan awal menunjukkan bahawa ketinggan ombak di kawasan perairan itu, sewaktu kejadian ialah sekitar dua meter.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan