Denggi: Tiga Maut, Jumlah Kes Terus Meningkat

Diterbitkan: Khamis, 26 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 819 kes demam denggi dengan tiga kematian iaitu dua di Melaka dan seorang di Pulau Pinang dilaporkan dalam tempoh seminggu dari 15 November hingga 21 November lepas.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 99 kes atau 17 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 720 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes kematian pertama melibatkan seorang buruh berusia 32 tahun dari Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Jasin, Melaka yang mula mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Jasin pada 6 November kerana disyaki mengalami demam denggi berdarah. "Pesakit tersebut telah dirujuk ke Hospital Melaka pada hari yang sama tetapi dilaporkan meninggal dunia di hospital itu sehari selepas dimasukkan akibat demam denggi berdarah," katanya.

Kes kedua pula membabitkan seorang penjawat awam berusia 49 tahun, penghidap darah tinggi dari Kampung Lubuk Redan, Masjid Tanah, Melaka.

Beliau dilaporkan mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan pada 9 November selepas merasa tidak sihat dua hari sebelum itu.

Dr Mohd Ismail berkata pesakit tersebut telah diminta datang semula keesokan harinya untuk penilaian dan hasilnya beliau didapati menunjukkan tandatanda demam denggi berdarah yang kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka pada hari yang sama.

"Pesakit meninggal dunia pada 12 November kerana mengalami komplikasi Sindrom Kejutan Denggi," katanya.

Sementara itu, kes kematian di Pulau Pinang pula membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 10 tahun dari Halaman Gelugor.

Pelajar tersebut dilaporkan mengalami demam dan muntahmuntah pada 11 November tetapi hanya mendapatkan rawatan dalam keadaan tenat di sebuah hospital swasta tiga hari kemudiannya.

Dr Mohd Ismail berkata pesakit itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi pada 15 November.

Bagaimanapun, keadaannya tidak berubah dan meninggal dunia pada 20 November akibat komplikasi Sindrom Kejutan Denggi.

Sementara bagi tempoh 15 November hingga 21 November, tujuh negeri menunjukkan peningkatan kes denggi iaitu Pulau Pinang (29 peratus), Sarawak (28 peratus), Johor (21 peratus), Negeri Sembilan (19 peratus), Wilayah Persekutuan (12 peratus), Perak (11 peratus) dan Selangor (tujuh peratus).

Dr Mohd Ismail berkata kementerian memandang serius peningkatan kes tersebut dan meminta orang ramai memastikan persekitaran rumah dan tempat kerja bersih daripada segala faktor yang memungkinkan kewujudan tempat pembiakan nyamuk Aedes yang membawa virus demam denggi.

"Kementerian tidak menolak faktor cuaca iaitu musim hujan sebagai penyumbang kepada peningkatan tersebut tetapi faktor utama yang perlu diberi perhatian ialah memastikan kawasan persekitaran bebas daripada tempat-tempat pembiakan Aedes," katanya.

Beliau berkata siasatan Jabatan Kesihatan juga mendapati ketiga-tiga kawasan yang mencatatkan kematian tersebut, indeks pembiakan Aedes adalah tinggi iaitu antara lima dan 30 peratus.

Katanya sikap masyarakat yang tidak mengambil berat tentang penghapusan tempat pembiakan nyamuk juga adalah penyumbang utama kepada permasalahan itu di mana daripada 106 aktiviti gotong-royong yang disarankan sepanjang minggu di kawasan wabak, hanya 21 peratus sahaja berjaya dilaksanakan.

Sehingga 21 November, terdapat 13 lokaliti "kawasan panas" dilaporkan berbanding 12 lokaliti pada minggu sebelumnya dengan tambahan lima lokaliti baru, manakala empat lokaliti dikenal pasti sebagai bebas daripada "kawasan panas" denggi.

Mengenai penyakit Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata sejumlah 275 kes dilaporkan pada minggu ini iaitu menurun dua kes berbanding minggu sebelumnya dengan Sarawak menyumbang sebanyak 99 peratus daripada bilangan kes tersebut.

Jumlah terkumpul kes Chikungunya tahun ini ialah 4,742 kes iaitu meningkat 11 peratus berbanding 4,271 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, tiada kematian berkaitan penyakit Chikungunya dilaporkan sehingga kini, katanya. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan