Kerajaan Timbang Wujud Akta Perhubungan Awam - Rais

Diterbitkan: Rabu, 25 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menimbang untuk mewujudkan akta perhubungan awam bagi melindungi dan mengiktiraf profesion itu seperti mana yang diterima bidang kerja lain.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bagi menjayakannya Jabatan Penerangan dan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) telah diminta menentukan tahap kuasa, fungsi serta faedah yang harus dimasukkan dalam cadangan penggubalan undang-undang itu.

Beliau berkata usaha ke arah tersebut perlu dilakukan segera dan sebuah jawatankuasa pengerak perlu ditubuhkan bagi mengkaji segala aspek sebelum cadangan itu dibawa ke kabinet.

"Oleh kerana ia merupakan profesion yang melibatkan pelbagai jurusan maka pegawai-pegawai perhubungan awam harus diberi pengiktirafan dari segi penghargaan terhadap nilai khidmat mereka.

"Satu cara ialah mewujudkan perundangan yang sesuai dengan profesion ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk "Peranan dan Tanggungjawab Pengamal Perhubungan Awam Dalam Merealisasikan 1Malaysia" dan pelancaran buku tulisan Presiden IPRM Datuk Mohd Hamdan Adnan di sini Rabu.

Rais berkata bahawa sebelum ini wujud pertikaian berhubung definisi yang tepat mengenai perhubungan awam untuk dimuatkan dalam perenggan tertentu sesuatu akta bagi mengelak timbulnya masalah berhubung tafsirannya kelak.

Bagaimanapun beliau berkata, pertikaian mengenai definisi sebenarnya tidak boleh menjadi penghalang kepada penggubalan akta tersebut.

Beliau menyarankan agar kajian perbandingan dibuat dengan amalan profesion perhubungan awam di negara lain bagi menjamin ia dapat melaksanakan fungsi dan peranan yang sewajarnya dalam proses pembinaan negara.

Menurutnya akta yang bakal digubal itu itu juga harus mampu melahirkan pengkhidmat awam yang terlatih dari sudut ilmu, sahsiah dan gaya agar ia mampu mencapai tahap tertinggi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan