Kerajaan Selangor Tidak Akan Bayar Ganti Rugi Kenaikan Tarif Air Kepada Syabas

Diterbitkan: Rabu, 25 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata kerajaan negeri tidak akan membayar ganti rugi kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berikutan kenaikan tarif air oleh syarikat konsesi itu.

“Kerajaan Negeri ingin menekankan bahawa walaupun terma tersebut termaktub dalam perjanjian konsesi antara kerajaan Selangor dan anak syarikat Puncak Niaga iaitu Syabas, terma ini hanya terpakai jika ada persetujuan daripada kerajaan negeri.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mempersetujui kenaikan tarif air oleh Syabas dan kami juga tidak akan membayar ganti rugi atas keputusan tidak membenarkan kenaikan tarif air itu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Rabu.

Menurut Khalid, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), kerajaan negeri amat konsisten dalam menentukan bahawa Syabas perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri dalam menentukan tarif air.

“Oleh kerana tiada persetujuan dalam hal ini. Maka isu ganti rugi tidak timbul.

"Kerajaan negeri berpendapat kenyataan oleh Puncak Niaga semalam adalah ‘overstatement of profit’ dan syarikat perlu bertanggungjawab kepada pemegang sahamnya dalam isu ini,” katanya.

Jelasya, kerajaan negeri juga tidak akan bertanggungjawab terhadap laporan yang dikeluarkan oleh Puncak Niaga mengenai keuntungan tersebut.

“Kerajaan negeri ketika ini dalam proses perundingan dengan kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi air di Selangor.

"Kita berharap akan dapat menemui jalan penyelesaian agar ia dapat memberi manfaat kepada rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya atas nilai wang yang terbaik,” katanya.

Semalam, Syarikat Pengurusan Air Puncak Niaga Berhad telah mengumumkan bahawa keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 275 peratus atau RM46.7 juta pada suku akhir 30 September berikutan peningkatan pendapatan dan gantirugi kenaikan kadar air oleh kerajaan Negeri Selangor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan