Banjir Di Terengganu Semakin Buruk, Kelantan Bertambah Baik

Diterbitkan: Rabu, 25 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di daerah Kuala Terengganu dan Dungun di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat pagi ini manakala di Kelantan keadaan bertambah baik dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan berkurangan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu berkata, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 65 pusat pemindahan di seluruh negeri itu adalah 6,680 orang, terdiri 3,345 di Dungun, 1,205 di Kuala Terenggganu, 1,496 Marang, 379 Hulu Terengganu, 217 Kemaman dan 38 Setiu.

Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu di Kampung Pelong ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air 1.5 meter, katanya.

Di Besut, keadaan kembali pulih apabila semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di daerah berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing malam tadi.

Jurucakap itu berkata paras air di sungaisungai utama di Terengganu, yang sebelum ini melepasi paras bahaya, hari ini kebanyakannya telah kembali ke paras biasa.

Namun, katanya, paras air di Sungai Nerus di Kampung Bukit pada pukul 9 pagi ini masih di paras bahaya 13.56 meter (bahaya 12.00 meter), Sungai Marang di Pengkalan Berangan berada pada paras 12.94 meter (paras waspada 12.5 meter).

Cuaca di Terengganu hari ini kembali cerah. Keadaan di beberapa kawasan yang dilanda banjir di Kelantan pagi ini bertambah baik, dengan 2,984 orang mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 3,512 orang semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata sehingga pagi ini hanya pusat pemindahan di empat jajahan yang masih dibuka.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa pemindahan tertinggi iaitu seramai 1,704 orang, diikuti Tumpat dengan 917 orang, Kuala Krai seramai 310 orang dan Machang seramai 53 orang.

Jurucakap itu berkata jalan yang ditutup kepada lalulintas kerana dinaiki air ialah di Jalan Pantai Cahaya Bulan di KM 4, Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata, Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu), Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh dan Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan di Tumpat.

Katanya Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard dan Tambatan Diraja kini berada di atas paras amaran manakala Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Lebir di Tualang pula berada di atas paras berjagajaga.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 36 orang selepas satu pusat pemindahan baru dibuka di Raub.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, lima sekeluarga mula dipindahkan pagi semalam selepas kawasan penempatan mereka di Kampung Tasik Ria Sementah dinaiki air.

Mereka kini ditempatkan di balai raya Kampung Kundang Patah.

Seramai 31 orang dari Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating, Kuantan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan