CSL dan Liow Berjumpa Dengan Muhyiddin Semalam

Diterbitkan: Selasa, 24 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin parti MCA yang bertelagah Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Seri Liow Tiong Lai bertemu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dan menyatakan persetujuan untuk mengadakan pemilihan parti yang baru.

Ketika memaklumkan perkara itu dalam sidang media di Wisma MCA di sini hari ini, Dr Chua yang juga Timbalan Presiden MCA, berkata persetujuan yang dicapai pada pertemuan enam mata yang berjalan dengan baik itu, bagaimanapun tidak menetapkan tarikh pemilihan parti.

"Kami mengadakan perbincangan iaitu saya dengan Timbalan Perdana Menteri semalam, turut hadir bersama ialah Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pihak beliau dan pihak saya berpendapat, kita semua menyokong termasuk presiden Datuk Seri Ong Tee Keat untuk mengadakan pemilihan parti supaya kita dapat memilih barisan pemimpin di pusat, tetapi yang menjadi pertikaian (sekarang) ialah tarikh," katanya.

Dr Chua berkata beliau mencadangkan agar pemilihan diadakan Mac tahun depan dengan mengambil kira kesesuaian masa tetapi Liow pula berpendapat agar ia dijalankan pada bulan depan atau Januari.

"Datuk Seri Liow berpendapat mungkin bulan Disember atau Januari boleh menjalankan pemilihan ini tetapi saya berpendapat ia seharusnya dilakukan pada bulan Mac kerana pada bulan Disember banyak perwakilan dan pemimpin bercuti dan saya berpendapat ia sukar dilaksanakan, begitu juga dengan bulan Januari dan Februari, kerana ramai yang sibuk dengan Tahun Baru Cina.

"Jadi saya berpendapat untuk masa yang paling sesuai untuk membolehkan urusetia untuk bersiap sedia menjalankan pemilihan mungkin bulan Mac, jadi dari segi pencapaian kefahaman, kita semua setuju mengadakan pemilihan parti, Presiden juga setuju, saya difahamkan beliau (Ong) bersetuju untuk mengadakan selepas enam hingga lapan bulan, mungkin beliau berpendapat kaedah yang baru sesuai," kata Dr Chua.

Beliau berharap semua pihak dapat bertolak ansur dalam perbincangan seterusnya untuk menetapkan tarikh pemilihan parti agar keputusan yang dicapai dapat menstabilkan parti, memulihkan keyakinan anggota terhadap pucuk pimpinan dan menyakinkan rakyat.

Ditanya mengenai reaksi Muhyiddin mengenai pertemuan mereka bertiga, Dr Chua berkata : "Cadangan beliau (TPM) ialah beliau berharap semua pihak MCA dan pemimpin MCA seharusnya bincang dengan penuh kebijaksanaan demi kepentingan parti MCA dan BN, itu nasihat beliau dan kami semua faham."

Sementara itu, Dr Chua berharap agar pihak Liow dapat membatalkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Sabtu ini kerana EGM yang dicadang itu juga menyalahi perlembagaan dan tidak sah.

"Kami juga mencadangkan kepada pihak Liow bahawa dari tempoh masa sekarang sehingga pemilihan parti diadakan, mungkin dari segi kedudukan pemimpin MCA dalam parti tidak seharusnya berubah, maksudnya dikekalkan 'status quo'," katanya.

Mengenai kaedah baru pemilihan pucuk pimpinan MCA, Dr Chua berkata perbincangan mengenai sama ada pemilihan secara terus yang melibatkan setiap anggota MCA atau menambah bilangan perwakilan pusat yang boleh mengundi.

Dr Chua, yang mengetuai pasukan khas dalam membincang dan menghalusi kaedah baru yang sesuai untuk pemilihan pucuk pimpinan parti berkata kaedah baru ini bagaimanapun mungkin tidak akan dilaksanakan pada pemilihan parti yang akan datang kerana ia memerlukan masa dan dijangka akan hanya boleh diguna pakai pada tahun 2011.

Jawatankuasa itu berpendapat jika kaedah tiaptiap anggota berhak mengundi dan memilih barisan pucuk pimpinan pusat, ia mungkin akan mencetuskan pelbagai pertikaian dan anggota yang terlibat mencapai hampir sejuta orang.

"Dari segi pemantauan, logistik dan perbelanjaan, mungkin memakan masa, perbelanjaan yang besar dan kami mengakui bahawa pemantauan akan juga menimbulkan banyak isu kerana kami mempunyai lebih 4,000 cawangan," katanya.

Beliau berkata kaedah yang lain yang dibincangkan ialah menambah bilangan perwakilan untuk menentukan nasib pucuk pimpinan di pusat daripada hanya bergantung kepada hampir 2,400 perwakilan pusat MCA pada masa ini.

"Mungkin perwakilan dari cawangan ke bahagian juga samasama menentukan barisan pucuk pimpinan pusat dan ini akan menambah perwakilan sedia ada daripada 2,400 kepada lebih 30,000, jadi ia dapat mencerminkan hasrat akar umbi apabila menentukan barisan pucuk pimpinan di pusat dan kita berpendapat ia lebih demokratik," katanya.

Katanya keputusan muktamad belum dibuat dan perbincangan lebih mendalam perlu diadakan supaya satu kaedah yang boleh diterima anggota MCA dilaksanakan dan yang penting ialah kaedah yang dipilih seharusnya lebih demokratik, adil dan mendapat sokongan daripada kesemua anggota parti.BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan