Umno Ke Mahkamah Rayuan Esok Berhubung Isu Kekosongan Kerusi Kota Siputeh

Diterbitkan: Isnin, 23 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umno akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan esok berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini yang menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapat perintah menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sebagai kosong.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Umno melalui peguamnya Datuk Hafarizam Harun akan mengemukakan rayuan berkenaan.

"Saya baru menghubungi beliau tadi dan sama ada Mahkamah Rayuan boleh membuat keputusan itu esok atau tidak, itu adalah sesuatu yang menarik kerana apa-apa pun SPR perlu membuat keputusan (tarikh pilihan raya, tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian) Rabu ini," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahmad berkata jentera Barisan Nasional (BN) telah bersiap sedia untuk melaksanakan segala persiapan sekiranya perlu menghadapi pilihan raya kecil bagi kerusi Kota Siputeh.

"Oleh kerana kawasan itu ialah kawasan Umno dan BN, sudah tentu kita akan mengusahakan kemenangan parti dan usaha untuk memastikan, jika boleh ... peningkatan majoriti setelah usahausaha di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan tidak dapat berusaha ke arah itu. Maka kita akan bersiap sedia (untuk pilihan raya kecil)," kata beliau.

Isnin lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan