Reezal Merican Pertimbang Tanding Presiden MBM

Diterbitkan: Isnin, 23 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau akan mempertimbangkan kemungkinan bertanding merebut jawatan nombor satu Majlis Belia Malaysia (MBM) pada pemilihan pertubuhan itu akan datang.

Katanya hasrat untuk bertanding jawatan presiden MBM merupakan antara perancangan beliau pada masa akan datang jika diberikan peluang setelah beliau tidak mempertahankan jawatannya sebagai presiden GPMS pada pemilihan tahun ini.

Presiden MBM sekarang ialah Shamsul Anuar Nasarah yang memegang jawatan itu sejak tahun 2005.

Bercakap kepada pemberita pada Persidangan Agung Tahunan GPMS ke-55 di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) di sini semalam, katanya buat masa ini beliau akan memberikan perhatian terhadap usaha-usaha untuk membantu memperkuatkan serta mengukuhkan GPMS termasuklah barisan kepimpinan baru yang telah dipilih oleh perwakilan.

Walaupun beliau tidak lagi menjadi presiden GPMS, beliau mahu pertubuhan itu tersusun dan teratur terutamanya selepas usahanya yang mahu lebih ramai golongan muda dalam barisan kepimpinan pertubuhan itu.

Sungguhpun tidak berjawatan dalam GPMS, katanya beliau tetap bersama pertubuhan itu selepas ini.

Pada pemilihan GPMS kali ini, timbalan presidennya, Jais Abdul Karim telah dipilih, setelah tidak ada pertandingan, sebagai presiden baru sementara naib presiden, Rosdi Amir sebagai timbalan presiden bagi mengisi kekosongan jawatan yang dilepaskan Jais. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan