KTM Berhad Tangguh Empat Perkhidmatan Tren Di Pantai Timur - Berita Semasa | mStar

KTM Berhad Tangguh Empat Perkhidmatan Tren Di Pantai Timur

Diterbitkan: Isnin, 23 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: KTM Berhad menangguhkan empat perkhidmatan tren KTM Antarabandarnya hari ini di sektor Pantai Timur berikutan banjir di kawasan Manek Urai hingga ke Bukit Abu, Kelantan.

Menurut kenyataan KTM Berhad hari ini perkhidmatan tren yang dibatal ialah Ekspres Wau iaitu bagi perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur dan Ekspres Timuran bagi perjalanan dari Tumpat ke Singapura.

Perkhidmatan Ekspres Wau bagi destinasi Kuala Lumpur ke Tumpat pula ditamatkan di Stesen Gua Musang dan Ekspres Timuran bagi destinasi Singapura ke Tumpat, ditamatkan di Stesen Gua Musang.

Penumpang akan dibawa ke stesen Tumpat dengan menggunakan bas.

Penumpang yang telah membeli tiket untuk perjalanan yang dibatalkan boleh menukar tarikh perjalanan atau mendapatkan semula wang harga tiket di stesen-stesen KTM Berhad berdekatan.

"Tempoh penangguhan dan pembatalan perkhidmatan untuk sektor Pantai Timur bergantung kepada situasi semasa paras air di kawasan yang terlibat. Kami juga akan memaklumkan dari semasa ke semasa sebarang perkembangan berkenaan perkhidmatan kami di kawasan itu," kata kenyataan itu.

KTM Berhad juga memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan untuk sebarang maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 0322671200. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan