Chandra Muzaffar Kata Chin Peng Tak Terus Terang; PAS Cadang Buat Referendum

Diterbitkan: Isnin, 23 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar menyifatkan permohonan maaf bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng sebagai tidak telus kerana beliau tetap mempertahankan tindakan kumpulannya membunuh orang yang tidak bersalah.

"Kalau kita teliti apa yang dinyatakannya, dia tidakpun menyatakan dia melakukan sesuatu yang salah.

"Dia nyatakan bahawa perkara biasa dalam perang bila ada orang awam terbunuh, malah katanya di pihak komunis pun ada yang tidak bersalah dibunuh... ini menunjukkan dia punya permohonan maaf bukan sesuatu yang terus terang," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan maaf Chin Peng kerana mengakibatkan kematian orang awam yang tidak bersalah sepertimana yang disiarkan akhbar Sunday Star hari ini.

Kata Chandra lagi, Chin Peng juga sebenarnya masih berdalih dalam isu permohonan maafnya kerana dalam masa yang sama mempertahankan pembunuhan yang berlaku sewaktu perang.

"Dengan mengeluarkan kenyataan bahawa pembunuhan orang awam memang terjadi dalam perang menunjukkan dia cuba menghalalkan apa yang berlaku.

"Kalau kita kaji secara mendalam ia menunjukkan beliau masih tidak mahu memohon maaf dengan terus terang," tegas Chandra.

Mengenai hasrat Chin Peng, 85, yang masih menaruhkan harapan untuk kembali ke tanah air dan disemadikan di sebelah kubur ayahnya di Sitiawan, Perak, Chandra berkata, Chin Peng perlu sekurang-kurangnya memohon maaf secara berterus terang.

"Dalam usia lingkungan 80an sepertinya yang nampak seakan jujur nak balik dan dikebumikan di tanah air apabila mati... itu nampak jujur.

"Tapi kita harus tunggu satu waktu di mana Chin Peng akan memohon maaf secara terus terang," katanya lagi.

Tambah Chandra, bagaimanapun baginya isu untuk membenarkan Chin Peng pulang perlu diteliti dengan sewajarnya oleh pihak kerajaan kerana ia boleh mencetuskan konflik di kalangan rakyat.

"Kita juga harus ambil kira perasaan sanak saudara anggota keselamatan negara, kita tak boleh menafikan perkara ini... tak boleh nafikan perasaan mereka.

"Banyak lagi isu yang berkaitan dengan tentera yang perlu diberi perhatian, isu Chin Peng nak balik harus kita tangguhkan sehingga isu-isu lain selesai," katanya.

Dalam pada itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, berdasarkan perkembangan terbaru itu, beliau menyarankan agar pihak kerajaan membuat satu referendum untuk rakyat menentukan sama ada permohonan maaf berkenaan boleh diterima dan sekaligus menerima kepulangan Chin Peng.

"Saya cadangkan agar kerajaan buat satu referendum atau pungutan suara untuk mengetahu keinginan sebenar rakyat. "Kita sepatutnya serahkan kepada rakyat untuk buat keputusan mengenai isu ini... saya pasti kerajaan tentu bijak untuk mengendalikannya," kata beliau.

Jelas Salahudin lagi, hanya melalui referendum berkenaan kerajaan boleh mendapatkan maklum balas sebenar sama ada rakyat mahu menerima permohonan maaf Chin Peng dan seterusnya membenarkannya pulang ke tanah air.

"Memang dulu pernah ada kajian dibuat dan kita tahu rakyat sememangnya menolak Chin Peng, tapi sekarang timbul pula isu terkini bahawa dia meminta maaf... jadi kajian semula boleh dibuat berdasarkan perkembangan ini," katanya.

Ditanya wajarkah rakyat di negara ini memaafkan Chin Peng walaupun pada masa yang sama pemimpin PKM itu mengatakan pembunuhan sewaktu perang adalah perkara normal, Salahuddin berkata: "Saya tiada hak untuk katakan kita patut maafkan ataupun tidak, terpulanglah kepada suara majoriti rakyat."

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan