Van Rempuh Pokok, Tiga Sekeluarga Maut

Diterbitkan: Ahad, 22 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMALANGAN MAUT... Tiga daripada lapan beranak mati ditempat kejadian selepas van yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di KM 103.8 Lebuh Raya Butterworth-Sungai Petani berhampiran Taman Sejati di sini, hari ini. --fotoBERNAMA
KEMALANGAN MAUT... Tiga daripada lapan beranak mati ditempat kejadian selepas van yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di KM 103.8 Lebuh Raya Butterworth-Sungai Petani berhampiran Taman Sejati di sini, hari ini. --fotoBERNAMA

SUNGAI PETANI: Tiga sekeluarga maut manakala dua parah dan tiga lagi cedera ringan apabila van yang dinaiki keluarga itu terbabas dan melanggar pokok di Km 108.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah Sungai Petani, dekat sini hari ini.

Bekas anggota tentera, Ismail Ahmad, 53, isterinya Solahan Ahmad, 45, dan anak lelaki mereka Mohamad Salahuddin, 15, mati di tempat kejadian.

Yang parah pula ialah dua anak pasangan itu, Ismalini, 23, dan Siti Nur Ain, 21, manakala tiga lagi anak mereka Ismaliza, 28, Nor Rahmah, 18 dan Nor Sakinah, 13, cedera ringan.

Kesemua yang cedera dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Anak sulung Ismail, Islami 38, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.45 pagi tidak jauh dari plaza tol Sungai Petani Selatan dan ketika kejadian ayah, ibu dan adik-adiknya itu dalam perjalanan untuk menziarahi keluarga di kampung.

"Ayah, ibu dan adikadik nak menziarahi anak saya yang baru lahir...tak sangka pula ini yang terjadi.

"Mereka bertolak dari rumah di Sungai Udang, Melaka pada pukul 11 malam tadi. Ayah memandu dari Melaka ke Ipoh dan Ismaliza mengambil alih (memandu) selepas itu," katanya ketika ditemui di HSAH.

Islami, yang bekerja di Melaka pulang ke Kampung Pida 4, Jerlun sejak beberapa hari lepas kerana isterinya bersalin.

Beliau berkata jenazah anggota keluarganya akan dikebumi di Kampung Permatang Bonglai Besar, Pida 6, Air Hitam, Jerlun malam ini.

Adik Ismail, Siti Aishah Ahmad, 38, berkata beliau menerima SMS dari abangnya pukul 1.30 pagi memberitahu mereka dalam perjalanan ke kampung tetapi beliau tidak membalasnya kerana mengantuk. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan