Pelajar Malaysia-Indonesia Berperanan Tingkat Hubungan Baik

Diterbitkan: Ahad, 22 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDUNG (Indonesia): Kira-kira 6,000 penuntut Malaysia di Indonesia perlu berperanan lebih besar sebagai duta kecil negara dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara berjiran ini, yang kadang-kadang renggang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang menghadiri perbincangan lebih sejam dengan para pemimpin pelajar itu, berkata penuntut sendiri berasa perlu berperanan untuk mempertingkatkan kegiatan-kegiatan yang boleh mempereratkan hubungan antara generasi muda kedua-dua negara.

"Ini selaras dengan apa yang telah disepakati antara pemimpin kedua-dua negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam lawatan beliau ke Kuala Lumpur minggu lepas," kata Muhyiddin selepas mengadakan perjumpaan dengan 11 pemimpin Kelab-kelab Umno di Indonesia di sini semalam.

Katanya, pandangan para penuntut itu juga selaras dengan hasrat yang dibincangkan beliau dengan Naib Presiden Indonesia Boediono di Rome, Itali baru-baru ini.

Beliau gembira dengan inisiatif yang sudah dijalankan oleh pemimpin pelajar Malaysia di Jakarta yang bekerjasama dengan pemimpin pelajar Indonesia, melalui bimbingan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, menubuhkan Persatuan Pelajar Indonesia-Malaysia (IMSA) dua bulan lepas.

Muhyiddin berkata melalui IMSA para penuntut bolehlah menyusun kegiatan dan menentukan sejauh mana penglibatan bersama para pelajar Indonesia, dan mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan untuk diberikan bantuan bagi membolehkan mereka melaksanakan aktiviti.

"Dengan cara itu boleh memupuk kerjasama dan persefahaman yang lebih baik menerusi pimpinan pelajar di sini," katanya, yang menambah bahawa beliau mendapati para pemimpin pelajar Malaysia di sini sangat berdedikasi untuk melaksanakannya.

"Walaupun di negara-negara lain tidak ada (program seperti ini), tetapi untuk di Indonesia kita akan bantu kerana sesuai dan ada keperluan untuk membina asas hubungan yang kuat.

"Walaupun serumpun, sebudaya, seagama, tetapi kadang-kadang hubungan kita renggang. Melalui kerjasama ini pelajar kita menjadi duta kita untuk berikan gambaran yang lebih baik tentang hasrat Malaysia untuk memupuk kerjasama dan perpaduan," tambahnya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah MSD bagi Indonesia Datuk Dr Junaidi Abu Bakar.

Timbalan Perdana Menteri berkata isu lain yang dibangkitkan para penuntut itu ialah perkara pengiktirafan ijazah bidang pengajian Islam yang dikeluarkan sesetengah universiti di sini yang dilayan berbeza di tanah air.

"Kita akan bawa hal ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kaji masalah itu," katanya, yang menambah bahawa selain itu para penuntut di 11 kampus di seluruh Indonesia didapati berkeadaan baik dengan kebajikan yang terjaga.

Selepas isu-isu melibatkan Malaysia yang hangat dilaporkan di media massa di sini diredakan melalui perbincangan pemimpin kedua-dua negara, beliau berkata para penuntut di Indonesia sekarang sudah merasa selesa dan dapat meneruskan pelajaran dengan baik.

Muhyiddin berkata pada perjumpaan tertutup itu, beliau juga mengambil kesempatan memberi penjelasan mengenai situasi di Malaysia, gagasan 1Malaysia dan inisiatif yang diambil pimpinan Umno dari segi perubahan dan pembaharuan yang hendak dilakukan.

Beliau juga menjelaskan dasar-dasar baru Perdana Menteri untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial rakyat, selain menyentuh isu berbangkit dalam arena politik tanah air.

"Menyedari pentingnya pendidikan dan usaha kita membantu memperkasakan orang Melayu menerusi pelajaran, saya minta di samping tumpuan soal kelab, mereka juga mestilah tumpukan kepada pelajaran masing-masing," tambahnya. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan