Kerajaan Negeri Sembilan Akan Bantu Siti Amynur

Diterbitkan: Ahad, 22 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi bantuan kepada murid cemerlang Siti Amynur Ain Putri Rosdy yang mendapat keputusan 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) meneruskan persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Yunus Rahmat berkata bantuan yang dihulurkan akan membolehkan murid Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior itu melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi bagi mencapai cita-citanya.

"Kerajaan negeri mengambil perhatian dengan nasib yang menimpa murid ini dan akan memberi bantuan kepadanya. Dalam masa terdekat ini kita akan cuba membantu menempatkannya di sekolah berasrama penuh di bandar ini," katanya ketika melawat murid itu di rumah emak saudaranya di Rumah Murah Dusun Nyior di sini, hari ini.

Pada Khamis lepas sewaktu keputusan UPSR diumumkan, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu kaum keluarga lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah selepas terlantar di hospital selama dua minggu.

Murid itu kini hidup yatim piatu bersama abangnya Mohd Amin Azaly, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Seri Ampangan di sini. Bapa mereka meninggal dunia empat tahun lepas akibat sakit tibi.

Yunus berkata bantuan lain yang akan diberikan termasuk bantuan kemiskinan bandar daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

"Saya akan maklumkan perkara ini kepada Menteri Besar untuk tindakan selanjutnya. Saya juga difahamkan kedua-dua beradik malang ini kini tinggal bersama seorang emak saudaranya.

"Saya ucap takziah kepada dua beradik ini kerana kehilangan ibu bapa mereka dan harap mereka akan tabah menghadapi dugaan ini. Saya juga ucapkan tahniah di atas kejayaan adik Siti Amynur Ain Putri yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR," katanya yang turut menghulurkan sumbangan peribadi.

Siti Amynur Ain Putri berkata beliau bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan itu.

"Saya akan ingat pesan arwah emak supaya belajar rajin-rajin sehingga sampai berjaya. Cita-cita saya ialah untuk menjadi pensyarah. Arwah emak yakin saya mendapat 5A dalam UPSR tetapi saya sedih kerana emak tidak dapat melihat keputusan ini," katanya dalam nada sedih. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan