Keputusan Isu Pembekuan Penghantaran Pembantu Rumah Indonesia Akhir Tahun Ini

Diterbitkan: Ahad, 22 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Keputusan sama ada Indonesia akan menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia dijangka diketahui menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Subramaniam berkata Malaysia masih berbincang dengan kerajaan Indonesia mengenai pengambilan pembantu rumah dari negara itu bagi menyelesaikan beberapa isu tertangguh demi manfaat kedua-dua negara.

"Hanya ada satu dua isu yang tertangguh dan jika kedua-dua negara boleh menyelesaikannya, maka isu pembekuan pembantu rumah asing ini boleh ditamatkan (menjelang akhir tahun ini)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan sekitar Parlimen Kota Raja di sini anjuran bersama Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kota Raja dan MIC Bahagian Kota Raja.

Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 25 Jun lepas berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Pada 2 September lepas, Malaysia dan Indonesia bersetuju membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu dan mereka juga dibenarkan menyimpan pasport sendiri semasa berada di negara ini.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat ketiga Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di ibu negara pada 20 Ogos lepas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan