Jumlah Mangsa Banjir Dipindahkan Di Terengganu Dan Kelantan Meningkat

Diterbitkan: Ahad, 22 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan terus meningkat apabila hampir semua daerah di negeri itu dilanda banjir.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata setakat pukul 8 malam ini, dua daerah lagi di negeri itu telah dilanda banjir iaitu Besut dan Setiu, selepas Hulu Terengganu, Marang, Kemaman dan Dungun.

Beliau berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan setakat ini ialah 399 orang daripada 99 keluarga berbanding 338 orang daripada 83 keluarga yang dipindahkan setakat pukul 5 petang semalam.

Jumlah penduduk di daerah Besut yang diarahkan berpindah ialah seramai 33 orang dari enam keluarga, sementara di Setiu, dua orang dari satu keluarga.

Yang lainnya ialah di Hulu Terengganu 195 (41 keluarga), Marang 18 orang (empat keluarga), Dungun 31 orang (sembilan keluarga) dan Kemaman 130 orang (38 keluarga).

Jurucakap itu berkata mangsa di Besut ialah dari Kampung Renek dipindahkan ke balai raya Kampung Renek manakala mangsa banjir dari Kampung Bari Besar, Setiu dipindahkan ke Surau Taman Hijrah.

Sehingga kini, sebanyak 15 pusat pemindahan telah dibuka di Terengganu iaitu tujuh di Hulu Terengganu, Kemaman (tiga), masing-masing dua di Dungun dan Marang serta masing-masing satu di Besut dan Setiu.

Enam laluan ditutup kepada semua kenderaan di Hulu Terengganu kerana ditenggelami air sedalam antara 1 hingga 1.2 meter.

Jalan-jalan terbabit ialah Jalan Sungai Tong-Kuala Berang di km11.5 di Kampung Kepah; Jalan Tengkawang-Lubuk di km16, Jalan Kampung Kejir-Kampung Jak; km4, km5 dan km6, Jalan Pengkalan Ajal; km7, Jalan Batu 24 Kampung Pengkalan Ajal di Kampung Paya Besar di km3; dan Jalan Matang-Kampung Nibong di Bukit Tadok Seksyen 6.

Di Setiu, jalan dinaiki air dan ditutup kepada semua kenderaan ialah km9 dan km10 Jalan Sungai Tong-Pelong yang dinaiki air sedalam 1 meter dan Jalan Kampung Hulu Seladang-Kampung Che Long, ditenggelami air sedalam 0.8 meter menyebabkan kedua-duanya terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.

Manakala di Marang Jalan Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga di Kampung Alor Wan Said yang ditenggelami 0.8 meter air dan km14 Jalan Jertih-Keruak di Kampung Jerubung yang dinaiki air sehingga satu meter, ditutup kepada semua kenderaan.

Bagaimanapun, semua jalan-jalan utama di Terengganu masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Jurucakap itu berkata beberapa sungai utama di negeri itu telah melepasi paras bahaya pada pukul 7 petang semalam, termasuk Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Berang di Hulu Terengganu.

Beliau bagaimanapun berkata tiada kemalangan jiwa disebabkan banjir dilaporkan setakat ini.

Di KOTA BAHARU, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan pada malam semalam semakin meningkat dengan 268 orang berbanding 224 orang pada sebelah petang.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata mereka semuanya penduduk Kuala Krai yang dipindah di empat sekolah berikutan rumah mereka dinaiki air limpahan Sungai Kelantan.

"Mereka terdiri daripada 59 keluarga dan kita jangka lebih ramai berpindah berikutan air sungai terus naik," katanya.

Penduduk yang tinggal di sepanjang tebing Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang diingatkan terus mengambil langkah bersiap sedia berpindah berikutan paras air melebihi paras bahaya.

Pada bacaan 9 malam ini, di Jenob di paras 23.92 meter berbanding bahaya 23.50 meter manakala di Rantau Panjang 9.83 meter (bahaya 9 meter). "Air Sungai Golok terus meningkat naik dan penduduk diminta akur untuk berpindah jika diarahkan," kata jurucakap itu.

Beliau berkata seramai 14 penduduk Rantau Panjang kini ditempatkan di pusat pemindahan berikutan banjir kilat.

Selain itu paras air Sungai Kelantan juga dilaporkan semakin meningkat naik tetapi masih belum mencapai bahaya.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Cuaca pada sebelah malam kadang kala hujan lebat berlaku terutama di pedalaman.

Di IPOH, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian berkurangan kepada 824 orang semalam berbanding 898 orang kelmarin.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kerian berkata kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir di daerah itu.

"Pusat pemindahan yang masih beroperasi adalah Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, Sekolah Kebangsaan Matang Buluh dan SJKT Simpang Lima," katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya kampung yang masih dilanda banjir membabitkan Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima.

Beliau berkata jika cuaca tidak hujan, kesemua mangsa dijangka pulang ke kediaman masing-masing dalam satu ke dua hari lagi.

Kampung itu dinaiki air lebih satu meter akibat limpahan empangan Kolah Bukit Merah serta Sungai Beriah berikutan hujan berterusan sejak 10 hari lepas. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan