SAJ Akan Perkenal Rebat Air Kepada Keluarga Miskin Di Johor

Diterbitkan: Khamis, 19 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NUSAJAYA: Syarikat Air Johor (SAJ) akan memperkenalkan skim pemberian rebat air kepada keluarga miskin tegar dan miskin bagi meringankan beban golongan berkenaan, kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Abdul Ghani berkata golongan miskin tegar itu akan menerima rebat bil air sehingga 20 meter padu pertama atau RM12 manakala keluarga miskin pula akan menerima rebat sehingga 10 meter padu pertama atau RM4.

"Pemberian rebat itu untuk meningkatkan bantuan jaringan keselamatan sosial bagi meringankan beban golongan sasaran seperti keluarga miskin dan miskin tegar termasuk kumpulan Orang Asli miskin tegar," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata sebanyak 9,596 keluarga di negeri ini adalah keluarga miskin, miskin tegar dan mudah miskin yang dikenal pasti sehingga kini melalui pangkalan Data Nasional, E-Kasih.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 4,049 keluarga adalah ketua isi rumah miskin dan miskin tegar yang menjadi kumpulan sasaran utama kerajaan negeri dalam mencapai matlamat membasmi kemiskinan tegar sepenuhnya dan mengurangkan separuh kemiskinan menjelang akhir tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk memberi perlindungan takaful bernilai RM30,000 seorang kepada 2,975 anggota penjawat awam negeri yang memegang jawatan berisiko tinggi.

"Insentif ini dicadangkan memandangkan kerajaan negeri prihatin kepada risiko yang dihadapi oleh penjawat awam seperti pembantu penguatkuasa, pemandu, penghantar notis, pegawai keselamatan dan pekerja awam yang lain," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan