Kerajaan Tiada Hasrat Tarik Balik Pengharaman Tajaan Syarikat Rokok

Diterbitkan: Khamis, 19 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat menarik balik keputusan mengharamkan syarikat rokok daripada menaja aktiviti sukan terutamanya sukan bola sepak.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata ini berikutan komitmen Malaysia dalam menyokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan undang-undang global kawalan tembakau melalui Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC). Beliau berkata, Malaysia telah menandatangani perjanjian FCTC pada 23 September 2003 dan menjadi perwakilan pada 16 September 2005 dan selaras dengan peruntukan di dalam FCTC, negara juga telah mewujudkan undang-undang domestik iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) pindaan 2004 yang berkuatkuasa 14 Ogos 2004.

"Namun begitu, kelonggaran untuk sukan bola sepak hingga akhir tahun 2004 serta kelonggaran bagi sukan bermotor F1 dikuatkuasakan sehingga awal tahun 2006.

"Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada pihakpihak terbabit mencari penajaan selain syarikat rokok bagi memastikan perancangan tidak terjejas.

"Justeru itu, kerajaan tidak berhasrat untuk menarik balik keputusan pengharaman penglibatan syarikat rokok sebagai penaja aktiviti sukan di negara ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abdul Rahman ingin tahu apakah kerajaan akan menarik balik keputusan mengharamkan syarikat rokok daripada menaja aktiviti sukan terutama sukan bola sepak kerana orang ramai mengetahui prestasi pasukan negara telah jatuh dengan begitu teruk sekali kerana kekurangan dana penajaan.

Sebelum itu, Razali berkata mengambil sukan bola sepak sebagai kayu pengukur untuk mengatakan bahawa pencapaian sukan negara jatuh dengan begitu teruk sekali adalah tidak adil kerana Malaysia telah mampu melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia.

"Untuk pengetahuan ahliahli Yang Berhormat, hari ini negara mempunyai sembilan jenis sukan di mana atlet-atlet kita berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

"Kejayaan ini turut bergantung kepada penglibatan semua termasuk program pembangunan di peringkat negeri, pengurusan, kejurulatihan dan pendidikan profesionalisme di kalangan pemain itu sendiri," kata beliau.

Razali berkata ia turut menuntut kekuatan mental atlet, sokongan peminat, kekukuhan organisasi persatuan dan semangat atlet ketika bertanding mewakili negara.

Beliau juga tertarik dengan cadangan Abdul Rahman supaya sebuah dana diwujudkan bagi menampung aktiviti sukan di negara ini.

"Rasanya ia satu kewajaran yang amat tinggi... kita akan lihat bagaimana jumlah pendapatan cukai dapat disalurkan kepada kementerian," katanya.

Sementara itu, Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) ingin tahu sama ada syarikat perjudian terlibat dalam penajaan aktiviti sukan.

Razali berkata kerajaan tidak dapat menghalang sesebuah syarikat selain daripada yang telah diharamkan untuk menaja mana-mana aktiviti sukan, bagaimanapun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, tajaan itu digunakan untuk perkara-perkara yang sesuai. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan