Dr. Asri Dihadapkan Ke Mahkamah Pagi Ini

Diterbitkan: Rabu, 18 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Asri ketika ditemubual oleh rakan media di perkarangan mahkamah, pagi tadi. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Dr Asri ketika ditemubual oleh rakan media di perkarangan mahkamah, pagi tadi. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi ini atas dakwaan memberi ceramah tanpa tauliah.

Notis untuk hadir ke mahkamah hari ini ditetapkan oleh mahkamah tersebut selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memfailkan pertuduhan terhadap Mohd Asri pada 12 November lalu.

Mohd Asri tiba di mahkamah pada hari ini kira-kira pukul 8.20 pagi ditemani bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kedua-dua mereka tiba dengan menaiki kereta yang sama.

Pada prosiding hari ini, barisan peguam yang mewakili Mohd Asri diketuai oleh peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzzaman.

Salah seorang peguam, Mohamad Abdullah ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya sudah bersedia untuk berhadapan dengan kes ini.

"Kita sudah sedia. Insya-allah semuanya akan berjalan dengan lancar," katanya.

Mohd Asri dijangka akan didakwa di bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mohd Asri telah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 1 November lalu, namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas itu.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan