Sidang DUN Sabah Kecoh Apabila ADUN DAP Didakwa Ceroboh Tanah Rizab

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini menjadi kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara seorang penyokong kerajaan dengan Adun DAP yang merupakan satu-satunya wakil pembangkang di DUN negeri berkaitan dengan isu sijil anak negeri dan pencerobohan tanah rizab kerajaan.

Keadaan itu berlaku apabila Datuk Samsudin Yahya (BN-Sekong) mendakwa bahawa Jimmy Wong (DAP-Sri Tanjung) telah melakukan salah laku dan melanggar integriti sebagai wakil rakyat ketika membahaskan Bajet Sabah 2010.

Sambil menunjukkan bukti bergambar dan dokumen, Yahya mendakwa Adun Sri Tanjung itu telah menceroboh kawasan tanah rizab kerajaan dan taman permainan bagi mengubah suai kawasan rumahnya.

Beliau juga mendakwa ADUN Sri Tanjung itu telah memperolehi Sijil Anak Negeri secara meragukan yang membolehkan membeli tanah berstatus tanah anak negeri.

"Beliau (Jimmy) sepatutnya tidak layak menjadi YB (wakil rakyat) kerana menipu rakyat dan juga DUN yang mulia," kata Samsudin.

Perang mulut terus berlaku apabila Samsuddin menggunakan perkataan 'penipu' yang merujuk kepada perbuatan salah laku itu.

Cubaan Jimmy untuk memperjelaskan keadaan sebenarnya tidak berjaya apabila Samsudin tidak memberi laluan kepadanya.

Semasa mencelah, Jimmy berkata penggunaan perkataan `penipu' itu adalah keterlaluan yang tidak sesuai digunakan dalam sidang DUN kerana seorang wakil rakyat hanya boleh dianggap bersalah selepas mahkamah membuat keputusan.

Keadaan kembali tenang apabila timbalan speaker Datuk Johnny Mositun meminta Samsuddin meneruskan bahasnya.

Ketika diminta mengulas lanjut dakwaannya semasa ditemui pemberita di luar dewan, Samsudin enggan berbuat demikian sambil berkata "apa yang saya mahu katakan sudah dibahas di dalam DUN".

Bercakap kepada pemberita kemudian, Jimmy berkata dakwaan itu tidak berasas dan didorong perasaan balas dendam kerana lantang bersuara tentang kelemahan kerajaan terutama cubaan membangunkan kawasan lapang yang tidak sesuai di kawasan Sabindo, Tawau.

"Saya bersedia menerima padah atau akibat perjuangan saya untuk membela nasib rakyat Sabah dan terpulang kepada rakyat untuk mengadilinya,' katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan