Kerajaan Pulau Pinang Nafi Anjur Pemberian Bantuan Untuk Fakir Islam Di Tokong Cina

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Kerajaan Negeri Pulau Pinang Selasa menafikan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng mensyaratkan semua majlis penyampaian bantuan kepada fakir miskin Islam mesti dibuat di tokong Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata, mesej berantai yang disebarkan secara meluas itu adalah tidak benar dan tidak berasas serta cuba mendorong tanggapan negatif umat Islam kepada kerajaan negeri.

Katanya, laporan polis telah dibuat oleh pembantu khas beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur laut di Jalan Patani di sini semalam kerana mesej yang mengandungi dakwaan yang tidak diketahui pemulanya itu bukan sahaja bermotifkan politik malahan hasutan yang cuba menimbulkan isu perkauman.

Ketika bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata semua program anjuran kerajaan negeri diadakan di dewan orang ramai kecuali pada bulan Ramadan ia diadakan di masjid atau surau.

Semalam, Lim menafikan dakwaan itu sebagai fitnah.

Fitnah sebegini bukan pertama kali berlaku tetapi telah berlaku sebelum ini untuk memberikan gambaran buruk kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat, katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan