Hujan Lebat Diramal Di Kebanyakan Negeri Sehingga Khamis

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Metereologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran kemungkinan banjir akan berlaku di kawasan-kawasan rendah berdekatan tebing sungai di Kelantan, Terengganu dan Pahang berikutan hujan sekejap-sekejap yang kadang kala lebat sejak semalam yang dijangka berlarutan sehingga Khamis ini.

Jabatan itu dalam kenyataannya berkata, hujan lebat peringkat Kuning iaitu kemungkinan berlaku hujan monsun itu dijangka akan berlaku dalam tempoh 24 hingga 48 jam ini.

Keadaan itu dijangka berlaku di Tumpat, Kota Bahru, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang di Kelantan; Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu; serta Kuantan, Jerantut, Pekan, Rompin dan Maran di Pahang.

Keadaan sama turut diramalkan di Perak Utara iaitu di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Kerian serta Kedah mulai malam ini sehingga Khamis.

Hujan lebat peringkat Kuning juga dijangka melanda kawasan Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kudat, Kota Merudu dan Pitas di Sabah mulai hari Selasa hingga Rabu.

Jabatan itu turut meramalkan angin kencang dan laut bergelora akan berlaku di kawasan Condore, Samui (Kelantan dan Terengganu) Reef North, Layang-layang, Palawan dan Utara Sabah mulai hari Selasa hingga Ahad dan berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Menurut jabatan itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut mulai Rabu hingga Jumaat ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan