PAMJ Perlu Tingkatkan Semangat Kerjasama Kalangan Kaum Melayu

Diterbitkan: Ahad, 15 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (tengah) bergambar kenangan bersama Persatuan Mahasiswa Johor daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi sambil menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas majlis 'Gala Dinner' Malam Tanjung Puteri di Dewan MATRADE di Kuala Lumpur, malam tadi. -foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (tengah) bergambar kenangan bersama Persatuan Mahasiswa Johor daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi sambil menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas majlis 'Gala Dinner' Malam Tanjung Puteri di Dewan MATRADE di Kuala Lumpur, malam tadi. -foto Bernama

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) disaran supaya memainkan peranan dalam meningkatkan hubungan dan semangat kerjasama perpaduan di kalangan masyarakat Melayu bukan saja di negeri Johor tetapi di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peranan itu boleh dimainkan PAMJ kerana ramai pemimpin persatuan itu datang daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman sama ada dalam bidang politik, perdagangan, perniagaan, kebudayaan mahupun kesusasteraan.

"Pengalaman inilah yang saya percaya boleh digunakan dalam membantu usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan sokongan, kepercayaan dan dokongan masyarakat ketika ini.

"Dengan adanya jaringan strategik ini juga saya yakin bahawa peranan yang boleh dimainkan dan sumbangan oleh persatuan ini akan dapat dilihat terserlah di masa akan datang," katanya ketika berucap pada majlis makan malam 'Malam Tanjung Puteri' anjuran PAMJ di sini pada malam Sabtu.

Turut hadir pada majlis itu ialah isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Penasihat PAMJ Tun Musa Hitam dan Presiden PAMJ Siti Zainab Sheikh Abu Bakar.

Muhyiddin berkata PAMJ juga boleh berperanan sebagai sebuah pusat sehenti yang menghimpunkan butir-butir latar belakang mereka yang berjaya dalam pelbagai bidang dan seterusnya menjadi penjalin hubungan antara anak-anak Melayu lain yang baru menceburkan diri dalam bidang yang berkenaan.

"Cara ini boleh menggalakkan perkongsian resepi kejayaan di samping mewujudkan jaringan pintar ke arah meningkatkan pencapaiann anak Melayu Johor dalam pelbagai bidang.

"Secara tidak langsung inisiatif seperti ini sekiranya dilaksanakan secara gigih dan bersungguh-sungguh juga pastinya dapat melahirkan lebih ramai lagi golongan kelas menengah Bumiputera selain meningkatkan sumbangan khususnya anak Melayu Johor dalam pembangunan negara kita," katanya.

Beliau yang juga Penaung PAMJ berkata semangat kemuafakatan di antara anak-anak Melayu Johor perlu diperkukuh dan digembeling dari semasa ke semasa untuk melonjakkan pencapaian dan sumbangan yang lebih bermakna oleh mereka di persada negara dan juga peringkat antarabangsa.

Persatuan yang ditubuhkah 27 tahun lepas itu disertai kira-kira 4,000 anggota yang terdiri daripada anak kelahiran Johor yang bermastautin di negeri-negeri luar Johor. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan