Ahli Politik Mahu Beri Ceramah Agama Perlu Dapatkan Tauliah - Tun Dr Mahathir - Berita Semasa | mStar

Ahli Politik Mahu Beri Ceramah Agama Perlu Dapatkan Tauliah - Tun Dr Mahathir

Diterbitkan: Ahad, 15 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan buku berjudul
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan buku berjudul "Sinar Perjuangan USIA" dan "Back to Quran" selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ke- 23 di sini, hari ini.-Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Ahli politik yang ingin memberikan ceramah agama perlu mendapatkan pentauliahan sebagai pendakwah daripada Jabatan Agama Islam Negeri bagi mengelak perpecahan dan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pentauliahan ini bagi menjamin syarahan yang diberikan adalah mengikut ajaran Islam yang betul yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.

"Saya lihat ramai orang politik membuat syarahan agama tanpa tauliah. Syarahan agama yang mempunyai kepentingan politik sepatutnya tidak boleh dipercayai.

"Kita khuatiri perbezaan pendapat orang-orang Islam tertentu akan disalah tafsir oleh umat dan menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Ke-24 di sini pada Sabtu.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), berkata pentauliahan kepada penceramah Islam juga supaya ajaran Islam yang betul dapat diterima di semua negeri.

"Kita lihat ada setengah orang boleh (mendakwah), setengah orang pula tak boleh. Ada negeri lain boleh (terima seseorang pendakwah), negeri lain tak boleh," katanya.

Menurutnya, perbezaan pendapat di kalangan umat Islam boleh berlaku, tetapi tidak seharusnya menyebabkan permusuhan.

Oleh itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya kembali kepada al-Qur'an dan hadis-hadis yang sahih untuk mempelajari ajaran asal agama Islam.

Sementara itu, Dr Mahathir menyeru umat Islam supaya tidak mengenepikan ilmu dunia dalam usaha mendalami pengetahuan agama.

"Kita jangan berdakwah sahaja. Kalau kita nak bagi tahu orang pasal keagungan agama kita tetapi orang tengok kita miskin, lemah dan mengharapkan belas kasihan orang lain, bagaimana kita nak meyakinkan orang lain tentang Islam?

"Islam adalah agama baik, membentuk keperibadian umatnya yang baik, menuntut umatnya supaya berilmu dan memajukan umatnya," katanya. BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan