Tengku Fakhry Kemuka Afidavit Kes Saman Syariah Terhadap Manohara

Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Putera Sultan Kelantan semalam mengemukakan afidavit keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk disahkan dan digunakan sebagai keterangan dalam kes saman terhadap isterinya, Manohara Odelia Pinot.

Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, yang hadir di mahkamah, membaca afidavit itu di dalam kamar Hakim Syarie Radi Latif untuk disahkan.

Peguamnya, Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu wartawan bahawa tujuan pihaknya memfailkan afidavit yang mengandungi keterangan Tengku Muhammad Fakhry bertujuan menjimatkan masa mahkamah dalam perbicaraan kes itu, yang ditetapkan Ahad ini di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan.

Zainul Rijal berkata: "Pada hari Ahad nanti, pihak kami akan memohon kebenaran Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu untuk menggunakan afidavit keterangan ini sebagai dijadikan keterangan Tengku.

"Jika dibenarkan kami tidak perlu menyoal secara lisan bagi pihak plaintif dan defendan (peguam pihak Manohara) sekaligus akan menjimatkan banyak masa. Kes itu mungkin akan diteruskan dengan hujahan dan hakim akan membuat keputusan jika hakim bersedia," katanya.

Ditanya mengapa afidavit itu disahkan di sini, Zainul Rijal berkata ini kerana secara kebetulan Tengku Muhammad Fakhry berada di sini dan pejabat peguam juga di Kuala Lumpur.

Pada 4 Julai lepas, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan dua saman iaitu menuntut agar isterinya kembali taat dan menyerahkan semula hutang berjumlah RM972,750.

Hutang itu termasuk pemberian jam jenama Audemars Piguet bernilai RM174,000 dan selebihnya adalah kiriman wang sebanyak enam kali bagi kegunaan defendan dan ibunya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan