Malaysia Berusaha Tarik Bakat Global, Warganya Di Luar Negara Supaya Pulang

Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik untuk didiami dan bekerja dalam usaha membawa pulang rakyatnya yang tinggal di luar negara selain menarik bakat global ke negara ini.

"Kami akan mewujudkan lebih banyak peluang, lebih banyak suasana yang menarik di Malaysia bagi membawa pulang perantau warga Malaysia selain ekspatriat ke negara ini," kata Najib malam tadi.

Bercakap pada majlis jamuan yang beliau anjurkan untuk masyarakat Malaysia di sini, Perdana Menteri berkata dalam dunia yang mencabar sekarang, Malaysia memerlukan bakat dan kepintaran bagi membangun serta memakmurkan negara.

Bagaimanapun, beliau berkata bukanlah mudah untuk mendapatkan mereka disebabkan persaingan sengit memandangkan negara lain turut mencari bakat global, sambil menambah tanpa kepintaran, Malaysia tidak boleh dianggap sebagai ekonomi berasaskan pengetahuan atau inovasi.

Najib berkata rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dengan bakat dan kepintaran mempunyai kadar mobiliti yang tinggi hari ini dan sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain bagi mencari prospek yang lebih baik daripada segi peluang kerjaya, syarikat yang bagus serta keadaan hidup yang kondusif.

Beliau berkata kerajaan akan menjadikan Malaysia prospek yang lebih baik bagi mereka dan bakat global lain dengan mewujudkan lebih banyak syarikat ternama serta membuat pelaburan dalam penyelidikan serta pembangunan terkini.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia sedemikian yang mencari tempat lebih menguntungkan di luar negara telah pun menjadi warga global dan mereka bukanlah tidak setia kepada negara ini atau dianggap sebagai tidak patriotik.

Beliau berkata andaian tidak boleh dibuat bahawa disebabkan mereka adalah rakyat Malaysia, maka mereka mesti bekerja di Malaysia, namun tidak menafikan bahawa pelaburan 20 tahun negara ke atas golongan berkenaan daripada segi pendidikan tidak membawa pulangan.

Bagaimanapun, Najib berkata negara bukanlah kehilangan mereka selama-lamanya memandangkan kerajaan mengambil dimensi baru dalam pendekatannya untuk berhubung dengan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dengan mendekati mereka serta menggunakan pengaruh daripada kehadiran mereka di negara tuan rumah.

Beliau berkata kerajaan akan mendapatkan bantuan mereka dalam memasarkan atau mempromosikan kepentingan negara menerusi rangkaian tempatan mereka, atau sekurang-kurangnya membantu memberi gambaran positif atau sebenar mengenai Malaysia di luar negara.

Beliau berkata mereka juga dapat membantu kerajaan menarik kedatangan warga asing untuk membuat pertimbangan supaya bekerja di Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai rumah kedua.

Perdana Menteri berkata negara masih bergelut dengan ekonominya dan kerajaan akan membuat penyesuaian terhadap model ekonomi dan pertumbuhan tidak lama lagi, dengan mengambil kira perubahan persekitaran dunia.

Najib berkata satu daripada model itu ialah bekerjasama dengan seberapa banyak negara dalam usaha untuk menyepadukan Malaysia ke dalam ekonomi dunia, yang menurutnya mencatatkan perkembangan baru dalam pasca krisis ekonomi.

Beliau berkata pentadbiran baru beliau seharusnya dinilai berdasarkan tindakan dan bukannya janji memandangkan beliau berazam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang wajar untuk didiami, dan menyediakan kemakmuran serta kestabilan untuk semua warga Malaysia.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan, serta isteri masing-masing turut menghadiri majlis berkenaan. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan