Pemuda Umno Anjur Kursus Perdana Mulai 3 Hingga 6 Disember

Diterbitkan: Jumaat, 13 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan menganjurkan kursus perdana bagi merangka strategi untuk menarik minat golongan belia menyertai pergerakan itu dan membuat perancangan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata kursus itu akan berlangsung selama tiga hari mulai 3 Disember ini di Institut Latihan Memperkasa Umno (Ilmu), Janda Baik, Pahang.

"Kira-kira 400 Ketua Pemuda Bahagian dan Naib Ketua Pemuda Bahagian akan menghadiri kursus itu yang bertujuan memperkasakan pergerakan Pemuda Umno dengan merancang bagaimana untuk menambah pendaftaran ahli baru, pendaftaran pengundi dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di sini malam semalam.

Beliau berkata kursus itu juga dianjurkan selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menetapkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Katanya Pemuda Umno akan menganjurkan program rakyat dan sambutan Aidiladha di Bagan Pinang, Negeri Sembilan sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih kepada penduduknya yang memberi kemenangan kepada Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri itu baru-baru ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan