Beberapa Kampung Di Kedah Dan Gerik Dilanda Banjir

Diterbitkan: Jumaat, 13 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Beberapa kampung di daerah Kubang Pasu dekat sini, dilanda banjir untuk kali kedua dalam bulan ini, selepas hujan lebat semalam.

Antara kampung terbabit ialah kampung Changkat Setoi dan Paya Lantau di Changlun, dekat sini.

Jurucakap bilik gerakan banjir Jabatan Pertahanan Awam Alor Setar berkata seramai 193 mangsa melibatkan 48 keluarga telah dipindahkan ke pusat penempatan banjir sejak awal pagi tadi.

"Paras air sungai sedang meningkat dan kini pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Di Gerik, Perak, tiga kampung iaitu Pahit Tengah, Pahit Dalam dan Pahit Luar, dilanda banjir akibat air Sungai Rui melimpah berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas.

Kebanyakan rumah yang terbabit terletak dalam jarak 200 meter dari teping Sungai Rui.

Penduduk Kampung Pahit Tengah, Wan Teh Yaakob, 58, berkata mereka tidak menyangka banjir akan melanda kerana kawasan berkenaan tida pernah ditenggelami air sejak 18 tahun lepas.

Katanya beliau sekeluarga kehilangan banyak barang berharga kerana tidak sempat menyelamatkannya kerana air naik dengan cepat pada tengah malam semalam.

Anggota Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe melawat mangsa banjir di tiga kampung terbabit hari ini dan menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak masingmasing bagi mengelak kejadian tidak diingini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan