Dr Chua Seharusnya Serah Jawatan Timbalan Presiden Tanpa Syarat

Diterbitkan: Khamis, 12 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai membidas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini dengan menyatakan bahawa bekas menteri kesihatan itu sepatutnya "menyerahkan" jawatan Timbalan Presiden MCA dan mengadakan pemilihan baru parti.

"Jawatan Timbalan Presiden ini adalah hak parti dan bukannya hak milik mana-mana individu... beliau tidak boleh menyerahkan kepada saya secara peribadi," kata Liow pada satu sidang akhbar sebelum mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 500 anggota parti dari Johor di Wisma MCA untuk mendapatkan sokongan bagi kempen "Petugas Khas Bagi Memulihkan Integriti MCA" (MIRT).

Dr Chua semalam menyatakan bahawa beliau mempertimbangkan untuk menyerahkan jawatan nombor dua parti itu kepada Liow jika Menteri Kesihatan itu berterus terang menyatakan kemahuannya.

Liow berkata: "Apa yang ingin saya katakan ialah beliau perlu menghormati keputusan EGM (mesyuarat agung luar biasa) 10 Okt lepas dan menyerahkan jawatan timbalan presiden dengan tanpa syarat dan mengadakan pemilihan baru."

Naib Presiden itu merujuk keputusan EGM 10 Oktober yang menyaksikan Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat tewas dalam undi tidak percaya manakala Dr Chua kembali diterima sebagai anggota parti tetapi bukan sebagai timbalan presiden ekoran pemecatannya daripada parti pada Ogos lepas.

Sejak itu, Liow dipilih sebagai Timbalan Presiden oleh Jawatankuasa Pusat parti tetapi Pendaftar Pertubuhan pada minggu lepas menyatakan bahawa Dr Chua masih memegang jawatan timbalan presiden parti itu.

Ditanya sama ada beliau masih mahu mengembalikan kedudukannya sebagai timbalan presiden, Liow menafikan perkara itu dan mengulangi bahawa objektif utama beliau ialah bagi parti mengadakan pemilihan baru.

Mengenai perhimpunan hari ini, Liow berkata mereka adalah anggota parti dari Cawangan Tanjung Piai dan Pontian yang tiba dengan 10 buah bas dan beberapa kereta.

Katanya persiapan bagi EGM pada 28 November ini, yang diusulkan oleh 16 anggota Jawatankuasa Pusat, sedang berjalan dengan melakukan kutipan dana.

Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, yang merupakan seorang daripada 16 anggota itu, berkata penyokong Liow telah mengumpul dana sebanyak RM15,622 dan mereka memerlukan RM48,000 untuk membayar sewa Dewan San Choon di Wisma MCA untuk dua hari.

"Ramai daripada anggota perwakilan pusat bimbang tentang penginapan mereka apabila menghadiri EGM ini tetapi kami memberi jaminan dan akan memberikan mereka tempat selamat untuk menginap," katanya.

Turut hadir hari ini ialah anggota Jawatankuasa Pusat Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng dan Lee Wei Kiat.

Sementara itu, Dr Chua ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup membincangkan Pelan Perpaduan Lebih Unggul di ibu pejabat parti di sini, sebaliknya mencabar Liow supaya tidak bertanding dalam pemilihan parti.

"Beliau berkata jawatan parti tidak penting, itu saya setuju. Jadi pada pemilihan parti akan datang jika ada, saya harap Liow Tiong Lai tidak perlu bertanding bagi manamana jawatan, dan jika beliau berbuat demikian, Chua Soi Lek bersedia mengikut jejak langkahnya," katanya.

Beliau mencabar Liow untuk mengumumkan pada EGM 28 November ini bahawa jawatan parti tidak penting kepadanya dan beliau tidak akan bertanding.

Dr Chua berkata ketika beliau mahu supaya EGM diadakan ekoran pemecatannya, Liow mempersoalkan tujuannya tetapi kini Liow sendiri melakukan perkara sama untuk mendapatkan sokongan akar umbi pada EGM 28 November.

"Sebagai ahli politik, pertama sekali yang perlu diperoleh adalah meraih kewibawaan dan kejujuran daripada anggota dan masyarakat umum, katakan dan lakukannya, tetapi jangan bercakap sesuatu dan melakukan perkara yang lain," kata Dr Chua.

Mengenai desakan Liow supaya beliau menyerahkan jawatan tanpa syarat, Dr Chua berkata jika Liow masih tidak berpuas hati dengan hakikat beliau masih Timbalan Presiden, Liow hendaklah mendapat penjelasan Pendaftar Pertubuhan dan "bukannya menuduh sebarangan". BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan