Dasar Baiah PAS Jika Benar Berlaku Menjadikan Wanita Bahan Dagangan, Pajakan dan Gadaian - Zulkifli Noordin

Diterbitkan: Rabu, 11 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin menyifatkan amalan baiah atau sumpah taat setia yang menjatuhkan talak tiga terhadap isteri wakil rakyat PAS yang lompat parti jika benar berlaku adalah satu dasar yang paling tidak masuk akal lagi memeranjatkan.

"Amatlah malang bagi mana-mana gerakan yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan menjadikan baiah seumpama itu sebagai dasarnya.

"Dasar ini mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, di mana wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian," kata Zulkifli dalam laman blognya.

Beliau juga mendesak supaya kepimpinan PAS segera membatalkan dasar baiah talak tiga ini.

Ini kerana, katanya, jika kepimpinan PAS lambat bertindak, sokongan rakyat kepada PAS khususnya dan kepada Pakatan Rakyat umumnya akan hilang.

"Kita perlu ingat pengundi wanita adalah majoriti dalam negara ini. Jangan sampai kita dibakulsampahkan oleh kaum wanita yang mutakhir ini meletakkan harapan kepada kita untuk membawa perubahan, bukan memutar jam kembali ke zaman jahiliah," ujarnya.

Menurut Zulkifli, beliau sangat terkejut dengan pengakuan seorang ahli Parlimen PAS yang mendedahkan kepada umum dan disiarkan dalam akhbar utama Sabtu lalu bahawa tiap calon wakil rakyat PAS dikenakan syarat bahawa mana-mana ahli yang dipilih menjadi calon bertanding mana-mana kerusi DUN atau Parlimen dikehendaki mengangkat baiah (sumpah setia) jika calon tersebut menang pilihan raya dan kemudiannya memilih meninggalkan PAS maka isterinya akan jatuh talak tiga.

"Saya sendiri telah mendapatkan pengesahan dan pengakuan daripada beberapa wakil rakyat dan kepimpinan PAS yang membenarkan berita tersebut.

"Pertama, apa yang menghairankan saya mengapa YB Ahli Parlimen PAS tersebut memilih membuat pengakuan tersebut dan mendedahkannya kepada umum dan disiarkan dalam akhbar-akhbar utama? Mengapa beliau tidak membangkitkan isu ini secara dalaman dan mencari jalan penyelesaian secara muzakarah malalui saluran dalaman parti.

"Saya sendiri telah dihubungi oleh ramai pihak termasuk para wartawan untuk mendapatkan komen dan ulasan serta pendirian saya dalam isu ini. Memandangkan YB Ahli Parlimen PAS tersebut telah membuat pengakuan terbuka dan mendedahkannya kepada umum, termasuk disiarkan dalam akhbar-akhbar utama, saya tiada pilihan melainkan terpaksa memperjelaskannya secara terbuka dan menyatakan pendirian saya secara umum," ujar beliau lagi.

Zulkifli berkata, bagi dirinya, ini adalah satu dasar yang paling tidak masuk akal lagi memeranjatkan yang pernah beliau dengar.

Katanya, tidakkah kita sedar bahawa perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci ALLAH tetapi masyarakat telah menjadikan perkara yang paling dibenci ALLAH ini sebagai dasar baiah dan sumpah taat setia kepada parti.

"Saya pada mulanya tidak mempercayai berita tersebut, apatah lagi didedahkan oleh akhbar arus perdana. Maka saya telah meminta sahabat-sahabat wakil rakyat PAS mengesahkannya. Saya sangat terkejut apabila sahabat-sahabat wakil rakyat dan kepimpinan parti tersebut mengesahkan bahawa mereka sendiri telah pun mengangkat baiah tersebut," ujarnya.

Malah kata Zulkifli, ada di antara mereka menceritakan bagaimana mereka sendiri menggigil apabila mengangkat baiah tersebut.

"Yang paling sedih, ada di antara para isteri yang dikehendaki hadir dalam majlis baiah ini menangis dan menggeletar mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi untuk kepentingan politik kepartian yang terlalu sempit dan jumud.

"Inilah apa yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik, mempertuhankan demokrasi. Apakah kita terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menggadai kesucian dan kemuliaan dan kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik." soal beliau.

Menurut Zulkifli lagi, beliau pada mulanya tidak bercadang mahu menulis mengenai isu ini dan berharap ia dapat diselesaikan secara baik.

Namun Beliau terkejut apabila menghubungi beberapa tokoh parti yang bukan sahaja tidak merasa bersalah dan berdosa dengan baiah talak tiga ini, malahan mempertahankannya dengan alasan-alasan yang dangkal lagi memualkan, yang langsung tidak ada sandaran kepada Al Quran, sunnah Rasulullah mahupun 'amalan para sahabat dan khulafa' rasyidin.

Ia, kata Zulkifli sekadar dasar yang berpaksikan kepada alasan dan sandaran akal dangkal semata-mata.

"Dan saya makin rasa terpanggil menulis isu ini apabila sahabat-sahabat wakil rakyat yang telah berbaiah meminta saya membawa isu ini, apatah lagi ia sudah pun menjadi isu umum setelah didedahkan oleh YB Ahli Parlimen tersebut.

"Mereka sudah tidak boleh menanggung bebanan yang dipikul ini, tetapi mereka tidak mampu untuk mendedahkannya kerana takut dikutuk dan dikenakan tindakan. Namun mereka meminta isu ini dibincangkan supaya tindakan segera dapat diambil dan kemungkaran yang berlaku dapat dicegah," tulis beliau.

Berkiatan dengan keizinan untuk mengangkat baiah, Zulkifli berkata, beliau sedar bahawa baiah adalah sesuatu yang dibenarkan syariat. Malah Nabi sendiri pernah mengambil baiah daripada para sahabat.

Tetapi dalam isu ini asas baiah yang diangkat ialah dengan menjadikan isteri dan perkahwinan sebagai bahan tebusan.

Tanya beliau, mengapa isteri, iaitu pihak ketiga dalam hubungan di antara calon dengan partinya harus menjadi mangsa.

Beliau juga bertanya, bagaimana pula dengan anak-anak yang turut akan menjadi mangsa.

Zulkifli juga menegaskan soal sama ada calon tersebut benar-benar melompat parti atau tidak adalah soal lain. Soal sama ada perceraian benar-benar berlaku atau tidak bukan isunya.

Soalnya ialah tanya beliau, mengapa kesucian, kemurniaan dan kemuliaan rumahtangga dijadikan tebusan bagi baiah politik.

"Mengapa tidak dibuat baiah dalam bentuk lain. Contohnya baiah seperti sumpah laknat; iaitu saperti: "Wallahi, watallahi, wabillahi. Saya (polan bin polan) calon bagi kerusi (sekian sekian) dalam pilihan raya umum ke-12 ini dengan ini bersumpah jika saya memenangi kerusi ini dan kemudiannya keluar dan tidak lagi menjadi Ahli PAS atas apa sebab sekalipun maka saya akan mengosongkan kerusi tersebut sertai-merta, jika tidak laknat ALLAH ke atas saya".

Zulkifli berkata, beliau cukup yakin mana-mana calon akan berfikir banyak kali jika ia bercadang nak melompat parti dengan baiah saperti ini.

Zulkifli juga menyatakan bahawa beliau khuatir dengan isu seperti ini, mereka yang menyokong PAS selama ini akan menjadi ragu-ragu, malah akan menukar sokongan mereka.

"Sudah tentu kekhuatiran ini berasas. Bagaimana rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk kita memimpin dan memerintah negara jika kita sanggup menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan kita sendiri sebagai gadaian politik?

"Apakah kelak bila menjadi Kerajaan Persekutuan dan memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan dipaksa berbaiah menceraikan isteri mereka jika tidak taat kepada Kerajaan?

"Saya lebih terkejut apabila diberitahu bahawa dasar baiah talak tiga ke atas isteri ini diluluskan dan direstui oleh kepimpinan sendiri. Apakah ini benar? Beberapa orang kepimpinan yang ditanya mengesahkannya. Saya masih lagi berharap maklumat ini tidak benar, tetapi jika ini benar saya sudah kehilangan ayat dan perkataan untuk menggambarkan perasaan dan pandangan saya," tegas beliau.

Sebab itu katanya beliau berharap Majlis Syura dan Dewan Ulamak PAS segera memperjelaskan isu baiah talak tiga ini.

Dan beliau juga berharap, tidak muncul sindrom malaikat bisu di kalangan mereka dalam menangani kemelut ini. Biarlah kita berani menyatakan yang hak walaupun pahit.

"Lebih baik diperbetulkan segera kemungkaran ini dan berharap mendapat keampunan dan keredhaan daripada ALLAH.

"Saya juga menyeru Dewan Muslimat PAS menyatakan pendirian mereka dengan jelas dalam isu ini. Saya berharap Dewan Muslimat akan mengambil langkah yang tegas dan berani untuk mempertahankan hak para isteri dan wanita Islam.

"Saya juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan supaya segera bermuzakarah dan membincangkan isu ini, apakah baiah seperti ini dibenarkan syara'? Jika jawapannya Ya apakah sandaran atau nas yang membenarkannya? Jika tidak, apakah kesan baiah ini berkuatkuasa seperti satu takliq kepada perkahwninan mereka yang berbaiah tersebut?

"Dan bolehkah pembaiah tersebut terikat dengan baiah seperti ini dan perlu mematuhinya? Adakah cara untuk membatalkan sumpah baiah seperti ini? Jika ada, bagaimanakah caranya? Dan apakah mereka yang membatalkan sumpah baiah ini perlu membayar kaffarah sumpah?, tanya beliau lagi.

Malah Zulkifli menegaskan bahawa beliau telah mengambil keputusan untuk mengumumkan bahawa beliau berpendirian bermufaraqah dan memisahkan diri daripada dasar ini.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan