SIVA-RASA PEDAS...7 MP PKR Pertahan Zulkifli Noordin

Diterbitkan: Selasa, 10 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tujuh ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang Selasa muncul dalam satu barisan dan suara mempertahankan rakan mereka dari Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin yang menjadi ‘mangsa’ kritikan pedas Naib Presiden parti itu, R.Sivarasa.

Tujuh ahli parlimen itu ialah Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru); Wee Choo Keong (Wangsa Maju); Datuk Kamarul Bahrin Abbas (Teluk Kemang); Abdullah Sani Abd Hamid (Kuala Langat); Mohd Yusmadi Yusof (Balik Pulau); Azan Ismail (Indera Mahkota) dan Abd Aziz Abd Kadir (Ketereh).

Mereka mengadakan kenyataan bersama mempertahankan Zulkifli pada satu sidang media di lobi parlimen di sini petang Selasa.

Semalam Sivarasa mentafsirkan amaran yang dikeluarkan oleh pemimpin parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemimpin parti itu yang dilihat sebagai bermasalah supaya mendisiplinkan diri dengan patuh kepada dasar parti atau tinggalkan parti itu adalah ditujukan kepada Zulkifli.

Ini kerana Zulkifli dilihat sebagai seorang yang seringkali mengeluarkan kenyataan yang kadang-kalanya bercanggah dengan dasar perjuangan parti itu terutamanya dalam isu-isu berkaitan dengan agama Islam dan juga orang Melayu.

Untuk rekod, PKR adalah sebuah parti berbilang kaum dan mempunyai dasar liberal dan kesaksamaan hak untuk semua.

Kumpulan tujuh ahli parlimen ini mempertahankan Zulkifli dengan berkata bahawa Anwar tidak mengaitkan kenyataannya itu dengan mana-mana pihak dalam parti.

“Kami menerima nasihat beliau (Anwar) dengan hati yang terbuka. Oleh itu adalah salah untuk menuding jari ke arah seseorang individu dan adalah tidak wajar untuk menuduh Zulkifli sebagai pemimpin yang dimaksudkan oleh Anwar. Dan kami telahpun bertanyakan kepada Datuk Seri Anwar sendiri tentang hal itu dan sah sudah perkara sepertimana yang didakwa oleh Sivarasa tidak berbangkit langsung,’’ kata Zahrain.

Sementara Wee pula melihat dari sudut hak Zulkifli untuk berkata dan menyatakan pendapatnya manakala Yusmadi berkata, adalah tidak adil sama sekali untuk menamakan Zulkifli.

“Mesej yang kami dapat daripada Anwar ialah semua pemimpin dalam PKR mestilah bertanggungjawab dan meningkatkan perkhidmatan mereka,” kata Yusmadi.

Dalam satu perkembangan lain, Zulkifli Noordin telah mencabar Sivarasa supaya meletakkan jawatannya dalam parti dalam tempoh 24 jam.

Beliau juga mencabar Sivarasa bertanding dengannya dalam satu ‘pertandingan politik’ dalam PKR dengan menyerahkan kepada ahli untuk menentukan apakah polisi parti itu juga termasuk mempertahankan hak orang Islam dan juga hak lain-lain penganut.

“Jika saya tewas, saya lebih daripada bersedia untuk meninggalkan PKR kerana sebuah parti yang tidak mempertahan dan menegaskan Islam dan hak masyarakat Islam adalah sebuah parti yang tidak patut saya bersekutu pun,” katanya di lobi parlimen petang Selasa.

Kata Zulkifli, adalah amat jelas sewaktu pertemuan pada hari Isnin, Anwar menasihati ahli-ahli PKR tentang strategi baru parti itu untuk ‘menyerang’ perdana menteri.

Isu memberi amaran kepada pemimpin PKR hanya disebut sekali lalu sahaja dan tidak ada pada bila-bila masa pun semasa pertemuan itu Anwar menujukan amaran itu kepadanya.

“Malah Anwar menyatakan rasa gembiranya kerana sayalah satu-satunya ahli parlimen PKR yang secara konsisten membangkitkan isu-isu berkaitan hal-hal dan permasalahan orang Islam dan juga Melayu.

“Kata Anwar adalah penting untuk menjuarai hak dan keistimewaan orang Islam dan pada masa yang sama tidak juga melupai hak-hak orang Kristian, Hindu, Buddha dan penganut-penganut agama lain.

“Jadi, polisi siapakah yang dimaksudkan oleh Sivarasa apabila beliau bercakap mengenai kenyataan saya yang kononnya bercanggah dengan polisi parti...polisi dia kah atau polisi parti?” tanya Zulkifli. Beliau juga bertanya apakah mempertahankan Islam dan hak-hak masyarakat Muslim di negara ini bercanggah dengan polisi PKR.

Zulkifli menambah, dasar umum Pakatan Rakyat adalah berasaskan kepada premis mempertahankan hak-hak kemanusiaan dan ini termasuklah hak-hak masyarakat Islam.

“Segala yang saya lakukan adalah untuk mempertahankan dasar ini...apakah ini satu dosa besar dalam PKR?” tanya beliau lagi sambil menambah adakah hak-hak kemanusiaan bermakna hanya hak orang lain tanpa melibatkan hak orang Islam dan mereka tidak mempunyai hak untuk bersuara sama sekali dan terpaksa menelan apa sahaja yang diperkatakan tentang mereka.

Beliau juga berkata, adalah sesuatu yang sangat malang untuk demokrasi dan hak-hak kemanusiaan jika orang seperti Sivarasa dibenar untuk menentukan apakah itu demokrasi dan juga hak kemanusiaan apabila hakikatnya demokrasi dan hak kemanusiaan itu hanya bermakna apabila mereka sahaja bercakap.

“Dan jika mempertahan dan mengangkatkan hak orang Islam, yang mana ianya sangat dekat dalam jiwa saya tidak termasuk di dalam ruang taksiran demokrasi dan hak kemanusiaan PKR, maka dengan itu saya berpendapat, itu adalah hukuman bunuh kepada demokrasi dan hak kemanusiaan di Malaysia.

“Malah jika saya dipaksa untuk memilih di antara Islam dengan parti, dalam sekelip mata saya akan memilih Islam,” tegas beliau.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan