Baiah: Islam Larang Umat Perjudi Nasib Isteri - Tokoh Agama & Ahli Akademik

Diterbitkan: Selasa, 10 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Beberapa tokoh agama dan akademik berpendapat, amalan baiah atau sumpah taat setia akan jatuh talak tiga terhadap wakil rakyat yang melompat parti adalah sama seperti mempertaruhkan agama dalam soal politik dan memperjudikan nasib isteri.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, ketika dihubungi mStar Online berkata, dalam konteks agama, Islam melarang umatnya memperjudikan nasib isteri untuk mencapai matlamat tertentu khasnya perkara yang menyebabkan kemudaratan kepada si isteri.

"Hukum baiah harus dan sah di sisi agama Islam namun ia (baiah) tidak boleh digunapakai dalam aspek memperjudikan nasib isteri untuk kepentingan politik.

"Kenapa kita perlu mengangkat baiah pada isteri atau harta yang paling kita sayangi, sedangkan Islam tidak galakkan umatnya berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan wujudnya amalan baiah di kalangan calon wakil rakyat PAS bagi mengelakkan mereka melompat parti. Baiah tersebut ialah dengan mempertaruhkan nasib isteri iaitu akan jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat PAS yang mengkhianati parti atau melompat parti.

Khamis lalu, Ahli Parlimen PAS dari Shah Alam, Khalid Samad mengesahkan wujudnya amalan baiah di kalangan calon wakil rakyat parti itu bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya mereka keluar parti.

Perkara tersebut dikukuhkan lagi dengan kenyataan Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman pada 6 November lalu yang menyatakan pernah mengangkat baiah berkenaan ketika dipilih sebagai calon pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras pada 2004 secara beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Menurutnya, baiah tersebut disediakan oleh Dewan Ulama Pas Pusat.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin menafikan wujudnya baiah seumpama itu sama ada di peringkat PAS Pusat mahupun negeri termasuk di Selangor sendiri.

Malah, Abdul Hadi secara terbuka mahu satu siasatan dilakukan sama ada baiah tersebut berlaku di Selangor sahaja atau pun di negeri-negeri lain memandangkan tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh Jawatankuasa PAS Pusat ataupun Majlis Ulama mengenai tindakan tersebut dari dahulu sehingga hari ini.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai hukum mereka yang mengamalkan baiah seumpama ini, Mohd Tamyes bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Cukuplah setakat ini sahaja. Saya tak mahu ulas lagi, " katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Ahmad Hidayat berkata, baiah seumpama itu amat tidak munasabah selain melanggar etika dan moral kehidupan masyarakat Islam.

Ujarnya, setiap perkara berkaitan taklik atau talak sepatutnya hanya menyentuh soal kekeluargaan dan ia tidak seharusnya dikaitkan dengan perkara lain termasuk politik.

"Syarak tidak membenarkan kita berbaiah dengan cara begini kerana perbuatan ini amat bertentangan dengan moral dan etika.

"Talak juga dibenci oleh Allah, baiah seperti ini adalah budaya orang yang tidak bertamadun.

"Wanita bukan boleh dijual beli dan bab agama jangan dipolitikkan sehingga isteri menjadi mangsa. Sanggupkah kita biarkan rumah tangga yang dibina hancur kerana politik semata-mata," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Profesor di Jabatan Fikh dan Usul Fikh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, isteri-isteri pemimpin PAS harus segera mengubah sikap suami masing-masing.

Jelasnya, baiah yang diterapkan oleh parti PAS itu bertentangan dengan kaedah pemikiran Islam.

"Terdapat kekeliruan di sini. Memang dalam 'politik Islam' adalah perlu untuk seseorang itu memperdagangkan nilai keluarganya sendiri sekiranya berhadapan dengan perkara yang sangat jelas iaitu 'ijtihad'.

"Namun, PAS hanya sebuah parti politik dan bukannya 'ijtihad', maka kita tidak boleh untuk mengorbankan keturunan dan keluarga kerana sebuah parti," ujar beliau.

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan