Nik Aziz mahu bincang royalti minyak dengan PM

Diterbitkan: Isnin, 9 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan tetap mahu menuntut pembayaran wang royalti minyak walaupun kerajaan Pusat mengumumkan pemberian wang ihsan untuk negeri itu, kata seorang exco negeri itu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Datuk Husam Musa berkata bagi tujuan itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan perkara itu.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Husam berkata tidak kiralah berapa jumlah wang ihsan yang akan dibelanjakan oleh kerajaan Pusat, kerajaan negeri menganggap ia sebagai "sedekah" dan masih mahu menuntut royalti minyak.

Kerajaan Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004.

Rabu lepas, Najib mengumumkan pemberian wang ihsan kepada Kelantan tahun depan hasil daripada pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan