Najib Mahu Semua Kementerian Proaktif Guna ICT

Diterbitkan: Isnin, 9 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semua kementerian perlu mengambil tindakan proaktif untuk memaksimumkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam penyampaian perkhidmatan awam memandangkan ia dapat meningkatkan taraf hidup dan imej kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata perkhidmatan ekerajaan seharusnya selangkah lebih maju dalam semua urusan kerajaan dengan menyediakan jenis perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat termasuk menggunakan sepenuhnya pelbagai kaedah multimedia yang ada.

"Hanya setelah rakyat menggunakan perkhidmatan ini dan mendapat manfaat daripadanya, barulah kita boleh menganggap penyampaian perkhidmatan awam telah berjaya," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) di sini hari ini.

Ini merupakan kali pertama beliau mempengerusikan mesyuarat majlis itu sejak menjadi perdana menteri April lepas.

Najib berkata satu lagi peranan penting MSC ialah di peringkat negara.

Pengumuman terbaru mengenai MSC Malaysia Pahang, katanya, merupakan antara langkah untuk membawa inisiatif ICT ini kepada rakyat di seluruh pelosok negara ke arah mengurangkan jurang digital selain merangsang kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar.

E-Kerajaan, yang membolehkan orang ramai menjalankan urusan dengan kerajaan menerusi Internet pada bila-bila masa, merupakan satu daripada kemudahan dalam penyampaian perkhidmatan awam yang telah menunjukkan kemajuan besar.

Satu contoh projek perintis, katanya, ialah membenarkan pelukis pelan Jabatan Kerja Raya untuk bertugas dari rumah.

Menurut Brookings Institut di Amerika Syarikat, aplikasi menerusi inisiatif E-Kerajaan itu melonjak ke ranking ke11 di seluruh dunia pada tahun lepas daripada tangga ke-25 pada 2007.

"Walaupun ekonomi dunia merosot pada suku keempat 2008, saya bangga kerana pendapatan MSC Malaysia bertambah daripada RM17 bilion kepada RM21.8 bilion dari tahun sebelumnya manakala sehingga 2008, terdapat 90,000 pekerja mahir di MSC Malaysia," kata Najib.

Sumbangan MSC Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2007 adalah 1.2 peratus, dan menurut Perdana Menteri, angka ini perlu ditingkatkan sehingga tiga kali ganda menjelang 2020.

Najib berkata MSC merupakan asas bagi Malaysia membina sektor teknologi bertaraf dunia yang akan menjadi penjana pertumbuhan dalam Model Baru Ekonomi yang akan dimumkan tidak lama lagi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan