Insiden Kepala Lembu Bukan Angkara Umno - MB Selangor

Diterbitkan: Isnin, 9 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Isnin berkata walaupun terdapat anggota Umno terlibat dalam satu demonstrasi mengarak kepala lembu di sini pada Ogos lepas, mereka ini bertindak lebih secara individu.

Kerajaan negeri tidak perlu menyusahkan mereka ini kerana ada antara mereka yang telah didakwa dan biarlah mereka menyatakan pendirian mereka di mahkamah, katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri ketika menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mahu Abdul Khalid menjelaskan siapa yang terlibat dalam demonstrasi itu yang disusuli dengan insiden memijak kelapa lembu.

Demonstrasi di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos itu melibatkan 200 penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.

Abdul Khalid tidak bersetuju kenyataan Ng yang mendakwa Umno sebagai sebuah parti perkauman kerana menjadi dalang bagi demonstrasi itu dan perlu dibubarkan.

Beliau berkata apa yang perlu pakatan pembangkang tunjukkan ialah kekuatan parti itu yang mewakili berbilang bangsa dan menunjukkan mereka boleh mentadbir dengan lebih baik dan telus.

Kepada soalan asal Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek) mengenai langkah-langkah kerajaan negeri memulihkan suasana keharmonian kaum selepas insiden itu, Abdul Khalid berkata pihaknya mengambil kira kepentingan serta keadilan semua pihak dalam semua perkara termasuklah kebebasan bersuara dan beragama.

"Kerajaan negeri akan mengambil pengajaran dalam membuat apa-apa keputusan selepas ini. Kita akan beri keutamaan kepada kepentingan semua kaum dan masyarakat setempat dalam soal kebebasan beragama," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan