Ong arah bentuk JK Petugas GUP diketuai Chua

Diterbitkan: Ahad, 8 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat mengarahkan penubuhan segera jawatankuasa petugas Rancangan Perpaduan Lebih Luas (GUP) MCA bagi merangka pelan tindakan segera pada tiga teras utama.

Matlamat utama rancangan itu ialah menyatupadukan parti, memulih, menyusun semula dan melakukan penjenamaan semula MCA.

Ong dalam blognya www.ongteekeat.net berkata jawatankuasa itu akan diketuai oleh timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan beberapa orang pemimpin lain sebagai anggotanya.

Anggota itu termasuk empat naib presiden, ketua Pemuda, ketua Wanita, setiausaha agung, Heng Seai Kie, Gan Ping Sieu, Datuk Chong Itt Chew, Loh Seng Kok dan Simon Lim.

Ong berkata GUP MCA yang diumumkan dua minggu lepas mendapat sokongan menyeluruh dari kalangan pemimpin dan akar umbi, termasuk sokongan dua pertiga daripada anggota Jawatankausa Pusat (CC) secara bertulis.

"Anggota-anggota MCA di semua peringkat ingin melihat GUP terbentuk dan tindakan dilaksanakan. Kini masanya untuk pastikan GUP membawa kesan," kata beliau.

Ong berkata beliau akan memantau dari dekat kemajuan jawatankukasa petugas itu dan mahukan maklum balas lengkap secara berkala.

"Menterjemahkan GUP dari setakat kata-kata kepada tindakan dan seterusnya melaksanakan matlamat kepada mereka adalah amat penting sekarang.

"Ini termasuk satu permukiman melibat pemimpin-pemimpin tertinggi parti untuk melakukan sumbang saran tentang cara terbaik MCA harus melangkah ke depan dan menggerakkan pemimpin tempatan bagi menjelaskan mengenai GUP," kata beliau.

Ong menegaskan bahawa MCA sudah cukup banyak melalui gangguan dalam setahun lepas dan kini tidak lagi mampu membuang masa demi mendapatkan sokongan orang ramai menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin bila GUP terbentuk hingga ke peringkat bahagian dan cawangan mereka yang kurang yakin dengan Rancangan itu akan mengubah fikiran mereka. Mereka akan melihat bahawa proses pemulihan tidak boleh ditangguhkan lagi," kata beliau.

"Saya juga yakin mereka akan sedar bahawa akhirnya, mendapatkan semula sokongan daripada masyarakat adalah lebih penting daripada memenangi jawatan dalam parti," kata Ong.

Sementara itu, pengerusi Biro Petugas Khas MCA Simon Lim berkata permintaan bagi mengadakan EGM pada 28 Nov, tidak punya sebab yang sahih kerana ia melanggar perlembagaan parti.

EGM itu, yang kedua bagi parti itu dalam tempoh dua bulan, akan menyaksikan pembentangan dua resolusi bagi membubarkan CC dan mengadakan pemilihan baru parti dan membatalkan sebarang perubahan kepada jawatan dalam parti, termasuk pelantikan baru atau pemecatan selepas EGM 10 Okt.

"Terdapat notis, iklan diterbitkan dalam akhbar Cina meminta diadakan EGM. Sebabsebab EGM minta diadakan sebagaimana dinyatakan di dalamnya mengandungi kenyataan tidak benar, palsu dan memburukkan Ong," kata Lim dalam satu kenyataan di sini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan