Najib tidak campur tangan masalah dalaman MCA, kecuali jika dijemput

Diterbitkan: Ahad, 8 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman MCA, kecuali sekiranya beliau menerima jemputan yang jelas dari parti itu untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa bahawa MCA seharusnya menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin bagi memastikan ia muncul sebagai sebuah parti yang kukuh dan bersatu.

Menjawab satu soalan, beliau berkata Pelan Perpaduan Lebih Menyeluruh yang sedang diusahakan dalam parti itu, dicetuskan oleh kepimpinan MCA sendiri dalam usaha menyelesaikan masalah mereka.

"Ia bukan pelan saya, tapi ditampilkan oleh kepimpinan MCA sendiri. Mereka ada memaklumkan kepada saya mengenainya, dan saya beritahu mereka bahawa apa yang paling penting adalah saya mahukan sebuah parti MCA yang kukuh dan bersatu. Kemudian baru MCA boleh mewakili majoriti komuniti Cina," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kongres Tahunan Parti Demokratik Liberal di 1Borneo di sini hari ini.

Beliau berkata MCA tidak punyai pilihan, mereka perlu menangani masalah dalaman dengan segera kerana sekiranya ia tidak diselesaikan dalam tempoh masa tertentu, ada kemungkinan calon-calon MCA ditolak orang ramai pada pilihan raya akan datang.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata sudah tiba masanya bagi MCA meminta Najib, yang juga pengerusi Barisan Nasional, untuk masuk campur dan cuba menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu.

MCA mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) pada 10 Oktober lepas dalam usaha menyelesaikan krisis kepimpinan yang dihadapinya, namun hasilnya dilihat masih belum dapat merungkai masalah yang melanda parti itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan