Dr Asri Selar Kenyataan Pengarah JAIS

Diterbitkan: Sabtu, 7 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid merupakan satu pandangan yang sempit.

Beliau berkata pandangan sedemikian menunjukkan Islam mewujudkan permusuhan di kalangan orang bukan Islam.

"Jika pandangan yang seperti ini cuba diamalkan, ia menunjukkan seakan Islam itu wujudkan permusuhan dengan bukan Islam.

"Saya ingin menasihatkan kepada JAIS dan juga rakan-rakannya supaya janganlah memberi pandangan-pandangan yang sempit hingga akhirnya masyarakat bukan Islam akan melihat Islam dari sudut yang negatif," katanya kepada mStar Online.

Mohd Asri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamed Khusrin yang dilaporkan bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid.

Kenyataan Mohamed Khusrin itu merujuk kepada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar yang berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang Ogos lalu.

Justeru Mohamed Khusrin dilaporkan berkata bahawa ahli jawatankuasa masjid berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang kerana membenarkan Xavier berucap di dewan masjid tersebut.

Bagaimanapun jelas Mohd Asri, beliau tidak mahu memfokuskan kepada kandungan ucapan ADUN berkenaan asalkan institusi masjid tidak digunakan sebagai alat untuk menentang Islam.

"Saya tak mahu fokus kepada ADUN berkenaan ataupun kandungan ucapannya, saya bukan nak cakap kes dia, tapi kenyataan JAIS yang kata orang bukan Islam tak boleh masuk masjid itu yang lebih penting.

"Tetapi jika seseorang itu masuk dan tidak mengganggu masjid, tidak mencemar masjid, atau nak berbincang dengan orang Islam, menerangkan tentang kebajikan yang nak dibuat seperti penerangan tentang kesihatan, penyakit mereka boleh masuk... selagi bukan nak menentang Islam," katanya.

Tegas Mohd Asri, pandangan berhubung orang bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid tidak sesuai diamalkan dalam negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia.

"Malah pandangan seperti ini akan menghalang minat kepada golongan bukan Islam untuk mendekati Islam.

"Ia akan menimbulkan salah sangka, mereka mungkin tidak tahu apa maksudnya, bagaimana mereka pula dianggap sebagai wanita haid.

"Pandangan sempit sesetengah golongan agama ini menimbulkan salah faham orang bukan Islam di Malaysia ini," katanya.

Ditanya sama ada kenyatan seperti ini menunjukkan kelemahan JAIS dalam menangani isu berkenaan dengan lebih terbuka dan sensitif, Mohd Asri berkata: "Ini adalah satu lagi masalah JAIS, jika ada orang beri pandangan yang berbeza seperti ini mereka akan kata orang itu Wahabi, padahal ini tidak ada kaitan dengan Wahabi.

"Ini soal melihat pandangan yang lebih terbuka, padahal jika mereka (orang bukan Islam) masuk ke dalam masjid, mungkin banyak perkara yang mereka dapat manfaat daripadanya."

Dalam pada itu, Mohd Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menasihatkan agar satu pembaharuan secara menyeluruh dilakukan terhadap JAIS bagi menunjukkan kematangan Islam.

"Saya fikir satu pembaharuan perlu dilakukan secara bersunguh-sungguh dalam JAIS, mereka perlu menunjukkan keluasan fikiran... mereka perlu mengamalkan pendekatan yang lebih memperlihatkan kematangan Islam di negara ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan